X
Khamis, 29 Jun 2017 | 12:00am
AJAK dan isterinya, Afifah M Amin. - Foto Aziah Azmee
AJAK dan isterinya, Afifah M Amin. - Foto Aziah Azmee
AJAK dan isterinya, Afifah dikurniakan tiga anak iaitu Jad Thaqif, 7, Had Thaqif, 4 dan Nada Soffea, 2. - Foto Aziah Azmee
AJAK dan isterinya, Afifah dikurniakan tiga anak iaitu Jad Thaqif, 7, Had Thaqif, 4 dan Nada Soffea, 2. - Foto Aziah Azmee

Ajak Shiro ajak beramal

MELIHAT aksinya di pentas mahupun ketika ke udara, pelawak dan penyampai radio Hot FM, Ajak mungkin dianggap 'gila-gila'.

Ada saja keletah dan idea mengenakan teman gandingan dicetuskan bapa tiga anak ini sehingga suasana menjadi huru-hara. Sifatnya yang bersahaja dan lawak yang selalu menjadi menyebabkan Ajak diminati ramai.

Namun, dalam sisi kehidupannya yang berbeza, Ajak atau nama sebenarnya, Mohd Hanaffi Razak, rupa-rupanya aktif dalam kegiatan yang dianjurkan perkumpulan Positif Republik.

Dalam diam, Ajak menubuhkan perkumpulan itu bagi membantu golongan kurang bernasib baik. Apa yang menarik, dalam menggerakkan kerja amal itu, mereka menggunakan hashtag #AjakBuatBaik.

"Sebelum ini, saya tidak ada pasukan untuk menggerakkan kerja amal ini, sebaliknya bergerak sendiri. Selalunya, saya akan pergi ke hospital untuk menghiburkan pesakit terutama kanak-kanak.

"Saya juga pernah memakai kostum Ultraman bagi memenuhi impian seorang pesakit kanser. Jadi, melihat mereka terhibur membuatkan saya rasa berpuas hati kerana dapat memberi kejutan kepada mereka.

"Saya harap dapat mengajak lebih ramai peminat bersama-sama melakukan kerja amal ini," katanya sambil menambah pelbagai maklumat mengenai perkumpulannya itu boleh didapati di akaun Instagram @positiv_republik.

SETIAP kali Syawal, Ajak dan keluarga tidak pernah melepaskan peluang pulang ke kampung. - Foto Aziah Azmee
SETIAP kali Syawal, Ajak dan keluarga tidak pernah melepaskan peluang pulang ke kampung. - Foto Aziah Azmee

Teringat raya di zaman kanak-kanak

Masih dalam kehangatan Aidilfitri, Ajak yang melalui zaman kanak-kanak pada era 1990-an, terkenang suasana dan kemeriahan sambutan lebaran di kampungnya di Kluang, Johor.

Apabila sudah berkeluarga dan dikurniakan tiga cahaya mata, Ajak tidak melihat perkara yang dilalui ketika membesar, berlaku dalam kehidupan anak-anaknya.

"Saya mahu ajar anak-anak perkara sama yang pernah saya lakukan dulu. Raya dulu cukup meriah kerana saya dan rakan-rakan akan pusing keliling kampung mendapatkan duit raya.

"Tapi anak-anak sekarang mereka lebih suka duduk di rumah dan bermain gajet atau melayan media sosial. Namun, saya tetap membawa anak-anak ke rumah saudara-mara terdekat supaya ikatan kekeluargaan tidak hilang," katanya.

Ajak dan isterinya, Afifah M Amin, 31, dikurniakan tiga anak iaitu Jad Thaqif, 7, Had Thaqif, 4 dan Nada Soffea, 2.

Justeru, setiap kali Syawal, Ajak dan keluarga tidak pernah melepaskan peluang pulang ke kampung.

Bagaimanapun, Ajak dan Afifah tidak pernah berebut atau membuat sistem giliran pulang ke kampung kerana masing-masing berasal dari daerah sama.

AJAK dan Afifah tidak pernah berebut atau membuat sistem giliran pulang ke kampung kerana masing-masing berasal dari daerah sama. - Foto Aziah Azmee
AJAK dan Afifah tidak pernah berebut atau membuat sistem giliran pulang ke kampung kerana masing-masing berasal dari daerah sama. - Foto Aziah Azmee

"Sebelum menjadi penyampai Hot FM, saya tidak kisah mengenai cuti setiap kali Aidilfitri. Selalunya saya cuba untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan pulang ke kampung.

"Tapi sekarang, saya tidak boleh mementingkan diri sendiri. Saya perlu adil terhadap rakan penyampai yang lain. Walaupun hanya mendapat empat hari cuti tapi sudah cukup untuk saya pulang ke kampung meraikan Syawal.

"Namun, saya perlu membuat perancangan masa dengan baik. Selain rumah keluarga sendiri, kami juga masih ada datuk dan nenek di kedua-dua belah selain rumah saudara mara yang perlu dikunjungi," katanya.

Tolak tawaran berlakon

Bergelar penyampai radio Hot FM sejak dua tahun lalu, Ajak mengakui semakin selesa dengan kerjayanya itu.

Malah, Ajak serasi bekerja Fizie dan Syuk mengendalikan segmen Geng Pagi Hot.

Disebabkan komitmen dalam konti, Ajak terpaksa menolak banyak tawaran berlakon.

AJAK membawa anak-anak ke rumah saudara-mara terdekat supaya ikatan kekeluargaan tidak hilang. - Foto Aziah Azmee
AJAK membawa anak-anak ke rumah saudara-mara terdekat supaya ikatan kekeluargaan tidak hilang. - Foto Aziah Azmee

AJAK mahu ajar anak-anak perkara sama yang pernah dilakukannya dulu. - Foto Aziah Azmee
AJAK mahu ajar anak-anak perkara sama yang pernah dilakukannya dulu. - Foto Aziah Azmee

"Jika diikutkan, banyak tawaran berlakon diterima, tapi saya terpaksa menolak disebabkan komitmen dengan radio.

"Namun, sekarang saya banyak terbabit dengan iklan komersial yang selalunya penggambaran hanya mengambil masa singkat.

"Lagipun, apabila sudah berkeluarga, saya cuba untuk meluangkan lebih masa bersama mereka terutamanya pada hujung minggu," katanya.

Info

  • Ajak atau nama sebenarnya, Mohd Hanaffi Razak membentuk kumpulan Shiro bersama dengan Shahrol ketika bersaing di pentas Raja Lawak musim keenam di mana mereka muncul juara.
  • Lebih menumpukan perhatian sebagai penyampai radio di Hot FM berganding dengan Fizie dan Syuk dalam segmen Geng Pagi Hot.
  • Hasil perkahwinannya dengan Afifah M Amin, Ajak dikurniakan tiga anak iaitu Jad Thaqif, 7, Had Thaqif, 4 dan Nada Soffea, 2.
Berita Harian X