Sabtu, 1 Julai 2017 | 12:09am
BENIH 'Cendawan Gagah' mendapat permintaan tinggi sehingga mencecah 5,000 paket sebulan. - Foto Mohd Latif Ahmad
'CENDAWAN Gagah' boleh mengeluarkan hasil dengan cepat iaitu dalam tempoh matang antara 27 hingga 30 hari berbanding cendawan biasa yang mengambil masa satu hingga tiga bulan untuk dituai. - Foto Mohd Latif Ahmad

Berhenti kerja hasil 'Cendawan Gagah'

KUCHING: Dua sahabat yang sebelum ini mempunyai pekerjaan tetap sebagai juru teknologi makmal perubatan, sanggup berhenti kerja semata-mata mahu membantu membangunkan tanaman cendawan di Sarawak, sekali gus meningkatkan pendapatan petani.

Dayangku Khalizawati Awangku Serma, 33, dan Dewi Jacqualine, 29, berpengalaman sembilan tahun berkhidmat di Hospital Umum Sarawak (HUS), memanfaatkan sepenuhnya kepakaran mereka bagi menghasilkan benih 'Cendawan Gagah' yang boleh dituai dalam tempoh singkat berbanding benih cendawan biasa.

Dayangku Khalizawati berkata, mereka memulakan inovasi itu pada 2010 dengan mengusahakan tanaman cendawan secara kecil-kecilan sebagai eksperimen dan akhirnya tampil dengan benih 'Cendawan Gagah' pada 2015.

"Benih cendawan yang kami hasilkan boleh mencapai tempoh matang antara 27 hingga 30 hari berbanding cendawan biasa yang mengambil masa satu hingga tiga bulan untuk dituai.

DAYANGKU Khalizawati (kanan) dan Dewi menunjukkan anak benih 'Cendawan Gagah'. - Foto Mohd Latif Ahmad

"Selepas mendapati benih 'Cendawan Gagah' mendapat permintaan tinggi sehingga mencecah 5,000 paket sebulan sekali gus menjana pendapatan lumayan, kami mengambil keputusan berhenti kerja pada 2016 untuk menumpukan perhatian pada perniagaan itu," katanya kepada BH.

Katanya, pencapaian itu secara tidak langsung meningkatkan kapasiti pengeluaran dalam kalangan penanam cendawan, malah mereka tidak perlu menunggu lama untuk melakukan penuaian dan meraih keuntungan dari hasil jualan.

"Benih 'Cendawan Gagah' juga lebih berdaya tahan dan tidak mudah diserang penyakit berbanding cendawan biasa, sekali gus mengelakkan kerugian. Malah, kami turut membantu mengurangkan kebergantungan benih cendawan dari Semenanjung.

"Ini sekali gus membantu mengurangkan beban terpaksa ditanggung pengusaha cendawan di Sarawak, terutama dalam proses mendapatkan benih yang bagus dan berkualiti. Benih yang bagus mengeluarkan hasil tuaian berkualiti," katanya.

BENIH cendawan yang dihasilkan mendapat permintaan tinggi dari pengusaha cendawan. - Foto Mohd Latif Ahmad

Beliau menjelaskan kaedah inovasi dilaksanakan mereka juga mampu memastikan kualiti benih cendawan dihasilkan berada pada tahap tertinggi, tahan penyakit dan cepat subur, selain mempercepatkan proses kitaran penuaian.

"Benih cendawan dihasilkan membabitkan jenis tiram kelabu, tiram putih, jerami (volvariella) dan melati, dengan sepaket dijual pada harga RM4, namun mampu menghasilkan keluaran lebih sekilogram," katanya.

Sejak menceburi bidang ini, mereka berjaya membantu ramai pengusaha meningkatkan pendapatan termasuk mereka yang menganggur, hilang pekerjaan, tiada pekerjaan tetap malah Orang Kurang Upaya (OKU).

Atas inisiatif itu, mereka berdua dipilih sebagai pemenang Cabaran Inovasi Inklusif 2017 Zon Sarawak dengan menampilkan Penghasilan Benih Cendawan Untuk Pengusaha di Sarawak.

DAYANGKU Khalizawati (kanan) dan Dewi menunjukkan anugerah yang diterima. - Foto Mohd Latif Ahmad

Dewi pula menyatakan mereka kini memiliki dua ladang, masing-masing di Batu Kawa, di sini dan Pejiru, Bau berhampiran Serikin yang dinamakan Krep Krep Farm.

"Ladang Pejiru yang berkeluasan kira-kira dua hektar disumbangkan Jabatan Pertanian untuk membolehkan kami menghasilkan lebih banyak lagi bekalan benih cendawan dan tanaman cendawan.

"Ketika ini kami sedang melakukan eksperimen bagi menghasilkan benih durian agar cepat berbuah," katanya.

INFO

  • 27 hingga 30 hari tempoh matang Cendawan Gagah (untuk dituai)
  • 60 hingga 90 hari tempoh matang cendawan biasa.
  • 5,000 paket benih dihasilkan sebulan. 

Berita Harian X