Khamis, 6 Julai 2017 | 12:06am

Leez lebih selesa jadi suri rumah

PELAKON, Leez Rosli, lebih selesa memberikan tumpuan kepada rumah tangga selepas melahirkan anak sulung, Nur Safiyya Alisha, pada April 2016.

Bahkan, sejak empat tahun lalu, bekas peserta program realiti ini dilihat mula memperlahankan rentak seni. Kelibatnya di kaca televisyen semakin jarang dilihat selepas beliau berkahwin dengan vokalis Drama Band, Aepul, pada Disember 2014.

Ketika anaknya kini berusia setahun lebih, Leez bagaimanapun mengakui ada tawaran lakonan yang hadir, membuatkan dirinya berbelah-bahagi.

Leez AF4 dan suami, Epul Drama Band bahagia melayari bahtera berumah tangga, lebih-lebih lagi dengan kelahiran anak tunggal Safiyya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

"Begitupun, saya semakin selesa memberikan tumpuan kepada rumah tangga dan anak. Ikutkan selepas bersalin, ada tawaran seni yang datang. Namun, saya berat hati hendak meninggalkan anak dan berjauhan dengan keluarga dalam tempoh lama.

"Boleh dikatakan, saya kini menikmati keindahan sebagai suri rumah tangga. Menjadi isteri dan ibu satu perasaan yang membahagiakan. Namun, saya tidaklah memutuskan untuk meninggalkan sepenuhnya dunia seni," katanya.

Ketika ini, Leez juga selesa menjaga anak sendiri tanpa bantuan pembantu rumah.

"Apabila difikirkan, lebih baik saya menjaga sendiri anak kami. Saya tidak mahu menggunakan khidmat pembantu rumah atau penjaga. Dengan pelbagai cerita dilaporkan mengenai pembantu rumah, ia membuatkan saya belum bersedia ke arah itu. Ibu masing-masing pun tinggal berdekatan. Kalau ada kerja, paling tidak saya dan suami boleh minta bantuan ibu kami.

BEKAS bintang Akademi Fantasia 4, Leez Rosli ketika diwawancara di Berjaya Times Square Hotel. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

"Saya sendiri mudah merindui anak kami. Kalau berjauhan, cepat saja rasa rindu. Pernah suatu ketika, ada rakan baik kami bawa anak berjalan-jalan, itu saja sudah buat saya jadi risau dan rindu. Memang selepas melahirkannya, kami jarang berenggang," katanya.

Selama menjadi anak seni, Leez sudah terbiasa memiliki wang sendiri atas rezeki bergelar artis. Namun, sejak tidak lagi aktif di dunia hiburan, pasti suasana agak berbeza.

"Dalam soal duit, Alhamdulillah rezeki saya dan suami tetap ada. Awalnya, saya terfikir juga bagaimana mahu meneruskan kelangsungan hidup kalau tidak lagi aktif berlakon dan menyanyi.

"Begitupun, suami memberikan sokongan apabila saya hendak memperlahankan kerjaya seni. Apatah lagi, selain menyanyi, suami juga memiliki perniagaan sendiri, termasuk syarikat menyediakan pengurusan acara seperti sistem bunyi. Hingga ke saat ini, Alhamdulillah, rezeki kami tidak pernah putus.

Leez AF4 dan suami, Epul Drama Band di Hotel Berjaya Times Square. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

"Keputusan saya untuk memberikan perhatian 100 peratus terhadap rumah tangga adalah tepat. Insya-Allah," katanya.

Bergelar isteri dan ibu juga jelas memberikan definisi berbeza dalam hidup Leez.

"Dulu, ketika masih muda, dalam apa-apa perkara pun diri sendiri yang didahulukan. Sekarang, semua keutamaan adalah kepada anak. Kehidupan saya ini tetap padat dengan pelbagai aktiviti bersama anak sekalipun tidak bekerja," katanya.

Mengenai penampilan diri, Leez kini dilihat kembali langsing.

"Sewaktu melahirkan Safiyya, berat saya naik lebih 20 kilogram (kg), menjadi 76 kg. Bayangkan, sebelum itu berat saya hanya 55 kilogram. Tapi ia satu perkara normal. Alhamdulillah, saya berjaya kembali mendapatkan berat yang sama sebelum beranak.

"Saya bukanlah melakukan senaman pun, sebaliknya lebih kepada diet seimbang. Mungkin juga kerana memberikan susu badan, jadi berat senang turun. Nak bersenam pun tiada masa kerana sibuk uruskan anak.

"Dalam bab makan, saya tolak makanan berminyak dan bergula," katanya.

BEKAS bintang Akademi Fantasia musim keempat, Leez Rosli bersama suami, Epul Drama Band di Berjaya Times Square Hotel. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

INFO

  • Leez dan Aepul berkahwin pada Disember 2014.
  • Mendapat cahaya mata pada April 2016.
  • Pernah menyertai Akademi Fantasia musim keempat.
  • Mengambil keputusan bertudung selepas berkahwin.

Berita Harian X