Khamis, 6 Julai 2017 | 12:08am

Identiti busana pengantin tercalar

Kini semakin sukar melihat pasangan pengantin Melayu mengenakan pakaian tradisional lengkap pada hari persandingan, terutama pengantin perempuan.

Walaupun dalam kebanyakan majlis persandingan, pengantin lelaki masih mengekalkan identiti bangsa dengan segak berbaju Melayu, bersamping dan bertanjak, pengantin perempuan pula semakin selesa memilih rekaan moden.

Pengantin perempuan juga semakin jarang memakai aksesori lengkap seperti cucuk sanggul, gendik atau sanggul lintang.

Fenomena begini menjadikan pengantin Melayu semakin hilang jati diri berbanding jiran terdekat seperti Thailand dan Indonesia yang masih terus mengekalkan identiti busana pengantin tradisional mereka.

BUSANA perkahwinan yang disusun kemas untuk keselesaan pelanggan ketika berkunjung untuk memilih baju pengantin yang sesuai. - Foto Norizzah Baharudin
BUSANA perkahwinan yang disusun kemas untuk keselesaan pelanggan ketika berkunjung untuk memilih baju pengantin yang sesuai. - Foto Norizzah Baharudin

Semakin hilang identiti

Pakar rujuk busana dan budaya, Zubaidah Sual, berkata busana pengantin tradisional masih menjadi pilihan kebanyakan pasangan mempelai ketika tahun 70-an dan awal 80-an.

Bagaimanapun, pengaruh moden mula menyerap dalam rekaan busana pengantin perempuan menjelang akhir 80-an dan awal 90-an apabila semakin ramai yang memilih mengenakan baju dengan potongan moden.

"Sayang sekali apabila generasi hari ini tidak lagi memilih pakaian tradisional ketika bersanding sedangkan ia adalah identiti bangsa yang perlu dikekalkan dan dibanggakan.

"Nampak kecelaruan identiti dan ketidakseimbangan apabila hanya pengantin lelaki saja yang masih kekal dengan identiti tradisional itu manakala pengantin perempuan mengenakan busana moden," katanya kepada BH Plus.

PAKAR rujuk busana dan budaya, Zubaidah Sual. - Foto Zunnur Al Shafiq
PAKAR rujuk busana dan budaya, Zubaidah Sual. - Foto Zunnur Al Shafiq

Zubaidah berkata, dalam hal ini perancang perkahwinan juga perlu memainkan peranan untuk memperkenalkan kembali busana pengantin tradisional kepada bakal pengantin.

"Sebaliknya perancang perkahwinan dan pemilik butik perkahwinan lebih selesa dengan rekaan moden yang dihasilkan mengikut kreativiti dan cita rasa mereka.

"Lebih malang, apabila kebanyakan mereka tidak berilmu sehingga dengan sewenang-wenangnya mengubah identiti tradisional busana pengantin Melayu.

PASANGAN pengantin masa kini bebas memilih busana perkahwinan mengikut konsep, fesyen dan warna pilihan mereka di butik pengantin. - Foto Norizzah Baharudin
PASANGAN pengantin masa kini bebas memilih busana perkahwinan mengikut konsep, fesyen dan warna pilihan mereka di butik pengantin. - Foto Norizzah Baharudin

Jangan cemar kesucian diraja

"Tidak salah untuk menjadi kreatif tetapi mereka perlu ingat bahawa tradisi dan fesyen adalah dua perkara berbeza yang tidak boleh dicampur-adukkan.

"Ambil contoh jiran kita Indonesia dan Thailand, dan lihat bagaimana mereka masih dapat mengekalkan pakaian tradisional pengantin sehingga hari ini, menunjukkan jati diri mereka yang terus dikekalkan," katanya.

Zubaidah turut melahirkan rasa kecewa apabila ada sesetengah perancang perkahwinan dan pemilik butik pengantin yang terlalu kreatif sehingga mencemar imej institusi raja Melayu.

"Ada dalam kalangan mereka yang tidak faham sehingga menjadikan mahkota raja sebagai sebahagian daripada kostum untuk pengantin.

"Orang Inggeris sendiri tidak pernah mencemar mahkota raja mereka untuk dijadikan sebagai pakaian kepada pengantin," katanya.

Zubaidah berkata, terlalu banyak pilihan pakaian tradisional Melayu yang boleh dijadikan busana pengantin bagi meraikan hari bersejarah pasangan raja sehari.

SETIAP negeri mempunyai identiti tersendiri pada busana pengantin tradisional dan harus dikekalkan walaupun trend semasa menggemari fesyen pengantin dari barat. - Foto Norizzah Baharudin
SETIAP negeri mempunyai identiti tersendiri pada busana pengantin tradisional dan harus dikekalkan walaupun trend semasa menggemari fesyen pengantin dari barat. - Foto Norizzah Baharudin

Banyak pilihan pakaian tradisional

Dari Perlis hingga ke Johor, selain Sabah dan Sarawak, setiap negeri di Malaysia ini mempunyai pakaian tradisional masing-masing yang cukup manis dan sesuai digayakan sebagai busana pengantin.

Busana yang diinspirasikan daripada perkahwinan bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein dan isteri, Tun Rahah Mohammad Noah, adalah sesuatu yang cukup unik dijadikan busana pengantin kerana ia menampilkan pertembungan dua negeri.

Lari daripada kebiasaan pasangan pengantin yang mengenakan persalinan sedondon, baju Melayu cekak Musang Pahang daripada kain songket jalur berdiri hijau untuk lelaki dan baju kurung Johor daripada kain broked rona putih untuk perempuan cukup menyerlahkan keanggunan.

Ringkas tetapi elegan, pemakaian mahkota dan layah oleh pengantin perempuan menyerlahkan imej bangsawan.

Bagi pasangan yang tercari-cari busana untuk perkahwinan mereka, baju Perak pasti akan menyerlahkan keanggunan anda kelak.

Warna kuning yang sering dikaitkan dengan imej raja akan membuatkan pasangan pengantin kelihatan gah bersanding di pelamin.

Busana pengantin Kelantan pula cukup sesuai untuk mereka yang mahukan sesuatu yang unik, memandangkan pengantin lelaki mengenakan kain ikat daripada songket.

Pengantin Johor Riau juga tidak kurang hebatnya apabila menyerlahkan keanggunan kedua-dua pasangan mempelai dengan pemakaian aksesori yang cukup unik dan tersendiri.

Seledang di bahu yang dikenakan pengantin perempuan menambahkan seri kepada si pemakainya.

INFO

Pakaian pengantin tradisional:

- Kebanyakan busana pengantin lelaki mengenakan bengkung di bahagian luar.

- Baju Melayu Pahang mengenakan bengkung di dalam.

- Busana pengantin Kelantan dipengaruhi Siam (disebabkan bersempadan dengan Thailand)

- Potongan kebaya Kota Baharu juga sesuai dijadikan busana pengantin.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X