X
Ahad, 9 Julai 2017 | 12:01am

Menangani dilema pelukis muda

PAMERAN lukisan Mass Yusoff, 'Reminiscence' di Galeri Prima NSTP. - Foto Rohanis Shukri
PAMERAN lukisan Mass Yusoff, 'Reminiscence' di Galeri Prima NSTP. - Foto Rohanis Shukri

SEJAK ekonomi dunia mengalami kejatuhan, beratus-ratus ribu pekerja diberhentikan akibat penutupan dan pengecilan syarikat. Laporan mendedahkan tahap pengangguran anak muda berumur bawah 25 tahun di negara ini berjumlah 273,400.

Ia turut menjejaskan pekerja kreatif seperti pelukis, pereka grafik, pereka set dan pengajar seni. Bagi pelukis sepenuh masa, pasaran seni kecil di negara ini masih kekurangan patron seni terutamanya kolektor persendirian dan korporat ditambah dengan pasaran seni dunia perlahan sehingga menjejaskan mata pencarian.

Dalam konteks sejarah, semasa Amerika Syarikat (AS) menghadapi zaman kemelesetan ekonomi teruk pada 1935, bekas Presidennya, Roosevelt mewujudkan program Treasury Relief Art Project (TRAP) pada Julai 1935 dengan pemberian geran daripada Works Progress Administration (WPA) di bawah Jabatan Perbendaharaan. Mereka yang menganggur atau diberhentikan kerja, ditugaskan mendekorasi atau menghiasi lebih kurang 1,900 bangunan kerajaan.

Pemilihan daripada jawatankuasa program TRAP ini datangnya daripada mesyuarat ringkas yang mengehadkan 500 pelukis. Pelukis yang menyertainya perlu mengisytiharkan diri sebagai pelukis sepenuh masa atau belum bekerja dan diberi gaji bulanan dan perlu bekerja 15 jam seminggu. Ini membolehkan mereka membeli sumber makanan, selain mempunyai masa lapang untuk kembali menghasilkan karya.

Pada 1937, TRAP dinaik taraf kepada WPA Federal Art Project (WPA) dengan beberapa pembaharuan terutama aspek persekitaran pekerjaan. Sebahagian artis yang terpilih, akhirnya menjadi nama besar seperti Jackson Pollock, Mark Rothko, Willem de Kooning, Louise Nevelson, David Smith, Lee Krasner, Philip Gusto, Ad Reinhardt, Arshile Gorky, Milton Avery dan William Baziotes.

Program ini terbahagi kepada projek mural dan projek catan easel. Pada awal projek, pelukis perlu menggunakan kad tebuk pada jam 8 pagi untuk masuk dan 4 petang (keluar). Pollock pernah diceritakan terkejar-kejar dengan memakai pijama supaya tidak terlewat berbuat demikian untuk mengelakkan daripada tidak menerima bayaran harian.

Bagi projek easel, pelukis bekerja tanpa penyeliaan di studio. Justeru, untuk Rothko mendapatkan cek, beliau perlu menghantar hasil catan minyak setiap empat hingga enam minggu untuk diletakkan di bangunan kerajaan. Berbeza pula dengan muralis, mereka perlu menghasilkan American Scene yang bebas.

Artis bekerja di studio

Program itu perlu dilihat dari segi keprihatinan terutama kepada artis yang bekerja di studio sendiri. Pernah suatu ketika penyelia datang ke studio Rothko, pegawai terbabit meninjau peti sejuk untuk melihat berapa banyak makanan yang ada.

WPA turut disokong dengan program sampingan seperti instruktor seni, pusat seni komuniti, lawatan berpandu seni ke studio artis terbabit atau pameran di galeri seni. Idea daripada WPA itu, terbinalah Federal Art Gallery, iaitu galeri milik kerajaan berkonsepkan swasta yang mengadakan pameran bersilih ganti bagi menjual karya dan menyokong karier pelukis.

Berdasarkan model itu, Balai Seni Negara mengorak langkah lebih strategik dalam menangani dilema pelukis tanah air, antaranya penjenamaan semula Ruang Kreatif, memperkenalkan program Usahawan Muda Seni dan pembinaan cawangan pertama Balai Seni Negara di Langkawi.

Idea perancangan Ruang Seni dijalankan sejak pertengahan 1980-an lagi setelah Balai Seni Negara berpindah ke bangunan barunya (kini Hotel Majestic) daripada bangunan lama Parlimen Malaysia (kini Pusat Pelancongan Malaysia atau MATIC).

Pada awalnya, Ruang Kreatif yang ditempatkan di sebelah bangunan utama galeri, dibina untuk memberi peluang kepada pelukis muda yang sukar mendapat tempat di galeri swasta untuk berpameran. Apabila berpindah ke bangunan tetap, ia masih digerakkan, tetapi terarah kepada program pendidikan dan penghayatan seni.

Jenamakan semula Ruang Kreatif

Meminjam model Faderal Art Gallery, Balai Seni Negara menjenamakan semula ruang ini dengan memberi nafas baharu kepada Ruang Kreatif di Lobi Bangunan Pentadbiran bukan sahaja memberi peluang kepada pelukis muda untuk berpameran, malah menjana kewangan daripada jualan karya, sekali gus sebagai promosi dalam merancakkan landskap seni. Atas permintaan tinggi daripada pelukis, Balai Seni Negara menambah dua lagi, iaitu di Galeri Potret dan Hotel Seri Pacific.

Program Usahawan Muda Seni pula dirancang untuk membendung pengangguran pelukis muda terutama yang baru keluar dari institusi pengajian seni dan masih mencari-cari tapak kerjaya. Program berpandukan budaya keusahawanan seni halus sebagai perniagaan itu, membuka peluang dalam membina jaringan niaga.

Bertujuan memberikan semangat keusahawanan dalam kalangan lepasan diploma dan ijazah, program latihan semula secara inkubator selama enam bulan di Depot Seni Kontena, diharap dapat mendedahkan pelukis muda kepada dunia komersialisasi dalam menjana pendapatan berasaskan pengkaryaan.

Berkepentingan nasional, pembinaan cawangan pertama Balai Seni Negara di Langkawi diharap dapat menawarkan permintaan daripada pelukis muda Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Dalam menyemarakkan industri perhotelan, ia sudah tentu memerlukan pengarah seni atau pelukis dalam menceriakan dinding dalam dan luar.

Pembukaan ini diharapkan dapat menjalinkan kerjasama pemain industri dan rumah seni tempatan dengan merancakkan lagi penghasilan karya seni pelukis yang serius dalam menjadikan Langkawi sebagai hab seni baharu dan muzium terbuka dalam pulau.

Berita Harian X