Rabu, 12 Julai 2017 | 12:03am

Soo Wincci sanggup dedah tubuh dalam filem antarabangsa

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Dr Soo Wincci, sedia mendedahkan tubuhnya di layar antarabangsa tertakluk kepada permintaan pengarah tertentu yang melihatnya dari sudut seni.

Begitupun, beliau enggan ada pihak menganggap keterbukaan seperti itu sebagai menjurus kepada kesediaannya untuk terbabit dalam filem berpaksikan elemen erotik.

"Saya memahami dan menghormati sensitiviti penonton tempatan. Namun andai diminta berlakon separuh bogel atau perlu mendedahkan tubuh, saya akan mempertimbangkan tawaran berkenaan sekiranya dapat bekerja dengan pengarah prolifik seperti Ang Lee (sutradara terkemuka Taiwan yang turut mencipta nama di Hollywood).

"Beliau seorang yang sangat berseni dan tidak menonjolkan tubuh pelakon tanpa tujuan, sebaliknya lebih kepada nilai artistik. Maksud saya, berbogel tetapi bukan menunjukkan badan tanpa seurat benang.

SOO Wincci merasakan dirinya bertuah kepada dapat 'berguru' dengan Osman Ali. - Foto Aziah Azmee
SOO Wincci merasakan dirinya bertuah kepada dapat 'berguru' dengan Osman Ali. - Foto Aziah Azmee

"Dalam erti kata sebenar, ia tidak menonjolkan bahagian yang tidak sepatutnya kepada khalayak. Apa pun, seperti yang saya tegaskan, jika ada yang mengajukan watak sedemikian, saya perlu memperhalusi tawaran berkenaan sebelum memberikan kata putus," katanya kepada BH Plus.

Memegang peranan sebagai watak wanita seksi, penggoda dan penuh dendam bernama Isabella dalam filem terbaru arahan Osman Ali, Kau Yang Satu, watak digalas nyata mencabar dirinya untuk menjadi aktres lebih berani.

Kongsi penyanyi yang mencipta nama di Taiwan ini lagi, gabungan bersama Aaron Aziz sebagai kekasihnya memerlukan mereka membawakan banyak babak intim hingga pada peringkat awal beliau sendiri tersipu-sipu.

"Boleh dikatakan, inilah karakter pertama yang memperlihatkan sisi 'daring' saya. Selama dua minggu kami belajar dengan Ellie Suriaty untuk mendalami watak. Walaupun julung kali bergandingan, apatah lagi intim di layar perak, saya dan Aaron dapat menghayati peranan kami," katanya ketika hadir ke Balai Berita, semalam.

SOO Wincci. - Foto Aziah Azmee
SOO Wincci. - Foto Aziah Azmee

Selain Wincci dan Aaron, filem cinta sarat mainan emosi, drama dan konflik yang bakal ditayangkan pada 13 Julai ini turut dibintangi Izara Aishah serta Hisyam Hamid.

Bercerita pengalaman dirinya 'berguru' dengan Osman, Wincci yang sememangnya menggemari hasil kerja sutradara terbabit berasa bertuah apabila menerima bimbingan pakar sepertinya.

Tidak pernah terfikir meraih peluang berkenaan apatah lagi dengan status yang masih agak baharu di arena lakonan, ketika itu, sepanjang berada di set penggambaran lebih daripada sebulan sekitar tahun 2015 meninggalkan pelbagai kenangan manis pada dirinya.

"Osman ialah pengarah yang sangat terbuka. Beliau memberikan kebebasan, namun turut mencurah pelbagai idea kepada pelakonnya. Contohnya dalam babak saya hampir mencium Aaron, beliau memberi gambaran dan kemudian apabila melihat sudut rakamannya, ia menjadi sangat artistik.

(Dari kiri) Hisyam Hamid, Soo Wincci dan Aaron Aziz. - Foto Aziah Azmee
(Dari kiri) Hisyam Hamid, Soo Wincci dan Aaron Aziz. - Foto Aziah Azmee

"Boleh dikatakan banyak adegan saya dan Aaron yang tampak berahi. Dalam kisah itu Isabella memiliki sisi yang sangat berani hingga sampai satu tahap mengajak kekasihnya untuk melakukan hubungan seks.

"Saya sendiri berdebar menunggu maklum balas ramai, malah pengarah meyakinkan saya supaya jangan takut untuk meluahkan jiwa Isabella yang penuh amarah apabila kekasihnya bakal mengahwini gadis pilihan keluarga," ulasnya.

Ditanya sama ada dirinya tidak gentar berdepan kritikan memandangkan watak Isabella nanti berpotensi 'membunuh' imej baiknya, Wincci menegaskan, ia hanya lakonan kerana di alam realiti beliau masih Soo Wincci yang asal.

"Ketika menjiwai watak Isabella, saya asingkan diri buat seketika. Tidak keluar berjumpa orang atau lepak dengan kawan-kawan. Saya tidak mahu emosi antara Soo Wincci dan Isabella bercampur baur kerana melihat peranan digalas ini sangat berat.

"Biar luarannya Isabella seorang gadis yang yakin diri, jelita dan meraih perhatian ramai, emosinya bercelaru," katanya lagi yang menyatakan perbezaan agama dan bangsa membuatkan Kau Yang Satu sebagai kisah masyarakat yang menyentuh perasaan.

Soo Wincci

* Dilahirkan pada 26 Oktober 1985 di Pahang.

* Memenangi gelaran Ratu Malaysia Dunia 2008.

* Selain berlakon, Wincci juga dikenali sebagai penyanyi, model dan usahawan.

* Mempunyai 11 album termasuk sebuah yang diterbitkan di Taiwan.

Berita Harian X