Rabu, 12 Julai 2017 | 12:04am
PANJANG bersama keluarganya. - Foto Khalid Latip
PANJANG bersama keluarganya. - Foto Khalid Latip
BEKALAN udang yang diperolehi dari pembekal di Bintangor, Pasin dan Oya. - Foto Khalid Latip
BEKALAN udang yang diperolehi dari pembekal di Bintangor, Pasin dan Oya. - Foto Khalid Latip

Merantau Temerloh ke Bintangor cari rezeki

BINTANGOR: Berpegang kepada semangat tidak putus asa dalam bidang perniagaan, Roslan Mohd Nor Arifin, 53, kini melangkah lebih jauh sebagai 'tauke udang galah' dan menjadikan setiap cabaran sebagai pembakar semangat.

Berhijrah ke Sarawak 20 tahun lalu, Roslan yang lebih terkenal dengan panggilan Panjang memulakan perniagaan dengan modal sendiri.

Sokongan padu isteri dan anggota keluarganya menjadikan lelaki berasal dari Temerloh, Pahang ini seorang usahawan yang cukup disegani.

Fasih berbahasa Iban, Panjang ketika ditemui berkata, walaupun pada awalnya banyak mengalami cabaran, dia tidak pernah berputus asa dan menjadikan kegagalan sebagai pembakar semangat untuk berjaya.

PANJANG (kanan) ditemani anaknya, Mohd Bakti Roslan, 22. - Foto Khalid Latip
PANJANG (kanan) ditemani anaknya, Mohd Bakti Roslan, 22. - Foto Khalid Latip

"Di Semenanjung, saya buat macam-macam perniagaan. Jual getah, buka kedai runcit dan ikan namun kurang berhasil. Selepas bertemu jodoh dengan isteri, ibu mencadangkan supaya saya berhijrah dan cuba nasib di Sarawak.

"Saya dan isteri berpindah ke Sarawak dengan tekad untuk berubah. Cabaran terbesar ketika itu, saya tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Malah, saya tidak tahu nak kerja apa dan di mana," katanya kepada BH Plus.

Berpegang pada keyakinan `rezeki di tangan Tuhan', Panjang membulatkan azam untuk membuktikan dia juga boleh berjaya seperti orang lain.

"Apa yang terbayang dalam fikiran, saya hanya boleh mengusahakan pertanian. Dengan RM300, saya beli bermacam-macam jenis biji benih termasuk cili, kacang buncis dan tembikai. Itulah bekalan saya menjejakkan kaki di Bumi Kenyalang," katanya.

MOHD Bakti membantu perniagaan bapanya.. - Foto Khalid Latip
MOHD Bakti membantu perniagaan bapanya.. - Foto Khalid Latip

Panjang berkata, selepas beberapa bulan, usaha pertama di atas tanah seluas tak sampai satu hektar milik isterinya mula menampakkan hasil apabila berjaya dipasarkan di sekitar Sarikei, Bintangor dan Sibu.

Bagaimanapun, katanya, dia terus berusaha untuk melipatgandakan pendapatan di samping mencari jalan terbaik bagi mengukuhkan kedudukan perniagaannya.

"Ketika tercari-cari hala tuju itu, saya terjumpa dengan seorang penjual udang galah. Kalau tidak silap harga sekilogram udang ketika itu hanya RM9 hingga RM10 sekilogram.

"Saya tidak menyangka pertemuan dengan orang tua itu mencetuskan idea untuk mencuba nasib dalam bidang itu. Hanya berbekalkan modal permulaan RM165, saya cuba jual udang di kawasan pasar tidak jauh dari kampung isteri sebelum berpindah ke pekan Bintangor.

"Selepas berusaha keras untuk menjayakan perniagaan udang ini, barulah ia menampakkan hasil. Saya mula mencari pasaran baharu. Alhamdulillah, usaha itu tidak sia-sia. Perniagaan saya semakin berkembang apabila berjaya mendapatkan tapak kekal di Market Sibu.

"Di situlah bermulanya episod baharu dalam kehidupan saya sebagai penjual udang," katanya yang kini menetap di Kampung Sungai Kawi.

Panjang berkata, perniagaan udang sebenarnya mampu memberikan pulangan lumayan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

UDANG galah yang siap dibungkus bersedia untuk dihantar ke restoran. - Foto Khalid Latip
UDANG galah yang siap dibungkus bersedia untuk dihantar ke restoran. - Foto Khalid Latip

Malah, katanya, keenakan rasa udang serta isinya yang pejal dan manis sentiasa mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Katanya, beliau terdorong untuk mengusahakan perniagaan itu selepas yakin ia mampu mendatangkan pulangan yang baik.

"Permintaan terhadap udang amat tinggi. Bekalan yang saya peroleh dari beberapa tempat seperti Pasin, Bintangor dan Oya tidak mencukupi. Setiap minggu saya mampu memasarkan sekurang-kurangnya 80 kilogram kepada pengusaha restoran. Ada yang dijual secara terus kepada orang ramai," katanya.

Berkongsi kejayaannya, Panjang mengakui apa yang dinikmati hari ini bukan datang bergolek sebaliknya melalui usaha dan kesungguhan.

"Setiap dugaan saya anggap sebagai pencetus semangat untuk lebih berjaya. Tidak ada istilah putus asa. Bagi saya, tidak ada yang lebih bermakna selain merasai hidup berbahagia bersama keluarga. Malah saya bersyukur, mempunyai seorang anak lelaki yang kini mengikuti jejak saya meneruskan perniagaan ini," katanya.

INFO

  • - Nama sebenar Panjang, Roslan Mohd Nor Arifin, 53.
  • - Berasal dari Temerloh, Pahang.
  • - Berhijrah ke Sarawak, 20 tahun lalu.
  • - Berbekalkan RM300, beli bermacam-macam jenis biji benih termasuk cili, kacang buncit dan tembikai bagi memulakan tanaman di atas tapak tanah seluas 0.8 hektar.
  • - Kini memasarkan sekurang-kurangnya 80 kg kepada pengusaha restoran, setiap minggu.
Berita Harian X