Rabu, 12 Julai 2017 | 12:05am

Laksa Sarang Pokok Limau pikat MB Perak

IPOH: Hasrat seorang pengusaha mengembangkan menu tradisi keluarga 'laksa sarang' menggunakan trak makanan membawa pulangan lumayan apabila memperoleh jualan kasar hingga RM15,000 sebulan.

Pengusaha trak makanan Laksa Pokok Limau, Zuraini Mohamad Johor, 23, berkata beliau bersyukur impiannya mahu mengembangkan menu keluarga berhasil apabila jualan di trak makanan yang dibuka di Meru Raya, di sini, mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, selepas melalui pelbagai rintangan, beliau bersama rakan kongsi, Muhammad Faiz Ahmad Termizi, 23, memulakan perniagaan pada akhir tahun lalu dan memperoleh tapak perniagaan disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) berdekatan bulatan Meru Raya.

"Keluarga saya dahulu hanya berniaga secara kecil-kecilan di bawah pokok limau sebelum menyewa kedai di Kota Lama Kiri di Kuala Kangsar.

"Alhamdulillah, kini kami dapat memperluaskan perniagaan keluarga dan memudahkan konsep perniagaan yang cuba diketengahkan," katanya ketika ditemui di trak makanannya di sini.

MUHAMMAD Faiz Ahmad Termizi menunjukkan laksa sarang yang sudah siap untuk dihidangkan kepada pelanggan. - Foto Balqis Jazimah Zahari
MUHAMMAD Faiz Ahmad Termizi menunjukkan laksa sarang yang sudah siap untuk dihidangkan kepada pelanggan. - Foto Balqis Jazimah Zahari

MENU laksa sarang yang disediakan di trak makanan Laksa Pokok Limau. - Foto Balqis Jazimah Zahari
MENU laksa sarang yang disediakan di trak makanan Laksa Pokok Limau. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Zuraini adalah antara individu yang mendapat manfaat daripada Skim Mikrokredit Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) yang menerima suntikan dana sejumlah RM50,000 bagi memulakan perniagaan.

Beliau berkata, setakat ini, perniagaannya mendapat sambutan pengunjung dan dapat menjual sekurang-kurangnya 100 hidangan termasuk yang dibungkus setiap hari dengan bilangannya mencecah lebih 200 hidangan pada hujung minggu.

Katanya, idea dan semangat untuk meneruskan perniagaan keluarga tercetus apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, kerap mengunjungi restoran milik keluarganya di Kuala Kangsar.

"Menteri Besar kerap berkunjung ke restoran ibu sebelum ini dan beliau menyokong kami untuk membuka cawangan perniagaan di Ipoh," katanya.

Muhammad Faiz pula berkata, bantuan melalui skim itu memudahkan konsep perniagaan yang diketengahkan dan mengurangkan kekangan membayar sewa yang tinggi bagi anak muda seperti mereka yang baru hendak memulakan perniagaan.

ZURAINI Mohamad Johor bersyukur kerana dapat mengembangkan menu keluarga. - Foto Balqis Jazimah Zahari
ZURAINI Mohamad Johor bersyukur kerana dapat mengembangkan menu keluarga. - Foto Balqis Jazimah Zahari

PENGUSAHA trak makanan Laksa Pokok Limau, Zuraini Mohamad Johor menyiapkan bahan bagi menu laksa sarang di dalam trak. - Foto Balqis Jazimah Zahari
PENGUSAHA trak makanan Laksa Pokok Limau, Zuraini Mohamad Johor menyiapkan bahan bagi menu laksa sarang di dalam trak. - Foto Balqis Jazimah Zahari

"Sekiranya buka kedai kami perlu menyewa, tetapi melalui trak makanan kami hanya membayar ansuran harga trak, jadi lima tahun akan datang kami tidak perlu lagi membayar ansuran itu kerana trak itu menjadi milik kami dan mendapat hasil jualan sepenuhnya," katanya.

Katanya, selain perniagaan dijalankan secara tetap di tapak perniagaan berkenaan, mereka turut memenuhi permintaan beberapa penganjur untuk menyertai program berbentuk `fiesta makanan' yang diadakan di sekitar bandar raya.

"Perancangan kami pada masa hadapan ialah membuka cawangan menggunakan premis tetap di bandar raya ini, kerana kami mengetahui pengunjung sebenarnya lebih suka serta mahu menikmati menu laksa kami secara panas dan duduk di tempat lebih selesa," katanya.

INFO

  • Memulakan perniagaan trak makanan Laksa Pokok Limau di tapak Meru Raya sejak Mac lalu.
  • Trak makanan beroperasi pada setiap hari bermula jam 5 petang-12 tengah malam.
Berita Harian X