X
Khamis, 13 Julai 2017 | 12:10am
ACUAN batu bata yang dicipta. - Foto ihsan pembaca
ACUAN batu bata yang dicipta. - Foto ihsan pembaca
BATA yang dihasilkan menggunakan acuan. - Foto ihsan pembaca
BATA yang dihasilkan menggunakan acuan. - Foto ihsan pembaca
GAMBAR rajah acuan yang diguna untuk menghasilkan batu bata. - Foto ihsan pembaca
GAMBAR rajah acuan yang diguna untuk menghasilkan batu bata. - Foto ihsan pembaca

Penyelidik UM cipta teknik Lego bina bangunan

KUALA LUMPUR: Kos pembinaan yang tinggi termasuk membeli bahan asas sering menghantui mereka yang pertama kali berhasrat ingin membina rumah sendiri.

Ditambah pula dibebani dengan upah membina rumah berkenaan, yang hampir sekali ganda nilainya menyebabkan rata-rata mereka mencari alternatif lain yang menjimatkan.

Justeru, sekumpulan penyelidik daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), berjaya menghasilkan batu bata berbentuk ala permainan Lego yang dapat memudahkan kerja pembinaan, sekali gus menjimatkan masa dan kos terbabit.

Idea mencipta inovasi itu tercetus atas beberapa faktor, termasuk kenaikan kos pembinaan, khususnya dari segi bahan asas digunakan seperti batu bata dan keperluan lain berkaitan.

Ketua penyelidik terbabit, Dr Mohd Sayuti Ab Karim, 34, berkata kepakaran dalam bidang perisian reka bentuk berkomputer diguna bagi mencipta acuan batu bata yang boleh mengurangkan kos penghasilan, dalam usaha membantu industri pembinaan.

Beliau berkata, kelainan utama reka bentuk itu ialah dilengkapi konsep 'terkunci' yang membolehkan batu bata disusun secara lebih kukuh hasil padanan sisi dengan bongkah bersebelahan.

GAMBAR rajah susunan batu batu berkonsep 'terkunci'. - Foto ihsan pembaca
GAMBAR rajah susunan batu batu berkonsep 'terkunci'. - Foto ihsan pembaca

Miliki kelebihan

"Melalui penyelidikan ini, acuan batu bata dihasil menggunakan keluli bagi memudahkan proses pembuatan. Aspek kekuatannya untuk jangka panjang juga diambil kira bagi kegunaan pembuatan batu bata yang memerlukan daya tekanan tinggi.

"Ujian mekanikal awal ke atas batu bata dihasil menunjukkan kualiti setanding batu bata sedia ada dalam pasaran, malah memiliki beberapa kelebihan lain, terutama penggunaan simen yang minimum," katanya ketika dihubungi Varsiti.

Dr Mohd Sayuti berkata, inovasi itu menghasilkan bongkah batu bata dengan saiz yang konsisten dan mampu disusun secara 'terkunci', secara langsung mengurangkan penggunaan simen.

"Ini sekali gus akan turut mengurangkan kuantiti simen terbuang yang banyak berlaku di tapak pembinaan. Selain itu, penyusunan batu bata berkenaan lebih efektif, cepat dan teratur berbanding batu bata sedia ada dalam pasaran," katanya.

DR Mohd Sayuti Ab Karim. - Foto ihsan pembaca
DR Mohd Sayuti Ab Karim. - Foto ihsan pembaca

Penyelidikan lanjut

Beliau berkata, inovasi yang masih dalam penyelidikan lanjut selepas prototaip berjaya dihasilkan itu berupaya membantu merancakkan lagi pembangunan sektor pembinaan dan hartanah serta memberi pilihan lebih bernilai kepada rakyat.

Selain pengurangan kos yang ketara, katanya, usaha itu dapat meningkatkan prospek penyelidikan dalam bidang lain berkaitan, malah beliau merancang menggunakan acuan sama untuk menghasilkan produk daripada bahan asas lain seperti komposit polietilena (bahan plastik yang dikitar semula).

"Idea ini tercetus sebagai usaha mencari penyelesaian terbaik bagi inisiatif kitar semula di negara ini, selain melihat keberkesanan konsep 'terkunci' seperti bongkah Lego yang boleh diaplikasikan dalam pembinaan," katanya.

INFO

Inovasi batu bata berkonsep 'terkunci'

  • - Membabitkan dana RM100,000 daripada geran penyelidikan dalaman UM
  • - Penyelidikan bermula akhir Disember 2014 hingga penghujung tahun lalu yang menyaksikan prototaip berjaya dihasilkan
  • - Acuan boleh diguna semula untuk jangka panjang, termasuk bagi menghasilkan batu bata daripada bahan alternatif
  • - Penggunaan mekanisme 'terkunci' juga dapat mengurangkan kebergantungan pada tenaga mahir dalam kerja penyusunan dan pemasangan batu bata.

Berita Harian X