Khamis, 13 Julai 2017 | 12:12am
AMIRAH Athirah Rohazam (empat kanan) bersama ahli pasukannya dalam cabaran Shell Eco-Marathon Asia 2017. - Foto Ayusliza Azizan
AMIRAH Athirah Rohazam (empat kanan) bersama ahli pasukannya dalam cabaran Shell Eco-Marathon Asia 2017. - Foto Ayusliza Azizan

Amirah pecah monopoli lelaki terajui UiTM Eco-Sprint

KUALA LUMPUR: Dunia pemotoran yang sinonim dengan lelaki bukan penghalang bagi pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Amirah Athirah Rohazam untuk menggalas tugas sebagai kapten pasukan UiTM Eco-Sprint yang majoritinya disertai oleh mahasiswa lelaki.

Tugas berkenaan digalas pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) itu sehingga berjaya membantu pasukannya meraih tempat pertama kategori Prototype Hydrogen dalam Shell Eco-Marathon Asia 2017 di Singapura, Mac lalu.

Amirah Athirah berkata, pada awal pembabitan dalam pasukan UiTM Eco-Sprint ini pada 2015, beliau sekadar mengikut kawan dan berperanan sebagai ahli yang bertanggungjawab mencari penaja.

"Siapa sangka, tahun ini saya pula yang diberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan dan sudah tentunya, tugas ini ada cabaran tersendiri kerana saya perlu menguruskan kumpulan ini yang terdiri daripada 27 ahli.

"Daripada jumlah itu, 21 adalah lelaki dan enam perempuan membabitkan penuntut daripada pelbagai bidang seperti kejuruteraan elektrik, mekanikal, seni dan reka bentuk," katanya ketika ditemui, di sini.

KAPTEN pasukan UiTM Eco-Sprint, Amirah Athirah Rohazam bersama kereta prototaip yang dihasilkan pasukan UiTM Eco-Sprint untuk menyertai Shell Eco-Marathon Asia 2017. - Foto Ayusliza Azizan
KAPTEN pasukan UiTM Eco-Sprint, Amirah Athirah Rohazam bersama kereta prototaip yang dihasilkan pasukan UiTM Eco-Sprint untuk menyertai Shell Eco-Marathon Asia 2017. - Foto Ayusliza Azizan

AMIRAH Athirah bersama ahli pasukannya dalam cabaran Shell Eco-Marathon Asia 2017 yang diadakan di Changi Exhibition Centre Singapura pada Mac lalu. - Foto Ayusliza Azizan
AMIRAH Athirah bersama ahli pasukannya dalam cabaran Shell Eco-Marathon Asia 2017 yang diadakan di Changi Exhibition Centre Singapura pada Mac lalu. - Foto Ayusliza Azizan

Antara cabaran yang perlu dihadapi Amirah Athirah ialah memastikan setiap ahli pasukan menyiapkan tugasan yang diberikan dalam tempoh ditetapkan, terutama membabitkan aspek teknikal dan mekanikal serta berurusan dengan pihak pengurusan universiti termasuk mendapatkan dana untuk projek berkenaan.

Perkukuh kemahiran insaniah

Amirah Athirah berkata, setiap ahli pasukan diberikan tanggungjawab masing-masing, contohnya penuntut seni dan reka bentuk berperanan dalam seni reka luaran prototaip.

"Penuntut kejuruteraan elektrik bertanggungjawab dalam pembangunan reka bentuk prototaip dan kejuruteraan mekanikal pula berperanan dalam elemen penggerak tenaga iaitu tenaga hidrogen untuk menggerakkan kereta.

"Pasukan kami sangat bertuah kerana mewarisi ilmu daripada ahli pasukan terdahulu. Kami hanya perlu menjalankan kajian bagaimana untuk menggerakkan kereta ini menjadi lebih laju serta kaedah mengurangkan penggunaan hidrogen sebagai tenaga penggerak untuk mendapatkan lebih mata.

AMIRAH Athirah Rohazam bergambar bersama ahli pasukan UiTM Eco-Sprint. - Foto Ayusliza Azizan
AMIRAH Athirah Rohazam bergambar bersama ahli pasukan UiTM Eco-Sprint. - Foto Ayusliza Azizan

"Bahagian paling mencabar untuk menjayakan projek ini ialah menghasilkan enjin dengan penggunaan hidrogen pada tahap paling minimum supaya meraih lebih banyak mata," katanya.

Anak sulung daripada empat adik-beradik itu berkata, peranan sebagai kapten pasukan itu memberikan kepuasan kerana dapat menguruskan keseluruhan pasukan, sekali gus membolehkan beliau memperkukuhkan kemahiran insaniah dalam diri.

"Pertandingan itu juga mengajar saya kemahiran pengurusan yang betul, bagaimana berkomunikasi dengan pihak atasan dan ahli pasukan bagi memastikan semuanya lengkap dan berjalan lancar.

"Saya percaya kejayaan hari ini adalah hasil kerjasama serta rasa tanggungjawab setiap ahli yang tahu serta mahir dalam tugas masing-masing. Kami akan terus belajar dan memperbaiki sebarang kelemahan bagi mengulang kejayaan sama pada pertandingan Eco-Challenge di Okinawa, Jepun, Disember ini," katanya.

PROFIL

Nama: Amirah Athirah Rohazam

Tarikh Lahir: 22 Februari 1992

Tempat lahir: Hospital Kuala Lumpur

Adik beradik: Anak sulung daripada empat beradik

Cita-cita: Jurutera

Program pengajian: Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) UiTM Shah Alam, Selangor

Pencapaian: Tempat pertama kategori Prototype Hydrogen dalam Shell Eco-Marathon Asia 2016 dan 2017

Berita Harian X