Khamis, 13 Julai 2017 | 12:19am

Murtad tak percaya hadis atau sunnah

MEMBACA al-Quran boleh menguatkan keimanan dan ketakwaan.
MEMBACA al-Quran boleh menguatkan keimanan dan ketakwaan.

SOALAN: Bolehkah seorang Muslim tidak percaya kepada hadis atau sunnah Nabi SAW?

Jawapan: Orang yang tidak percaya kepada hadis atau sunnah boleh jatuh murtad kerana ia sumber perundangan Islam yang wajib diyakini. Ia telah menjadi rujukan sahabat pada zaman Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apa juga perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka terimalah dan amalkan segala-gala suruhannya.

Sementara segala larangannya perlu dijauhi dan dipatuhi." (Surah al-Hasr, ayat 7) Ayat ini jelas menunjukkan Allah SWT mengarahkan semua umat Islam tanpa mengira zaman mentaati segala ajaran Baginda SAW yang mana ia adalah sunnah kepada kita hari ini. Bagaimana ada golongan yang begitu dangkal dan jahil menolak sunnah itu?

Mana mungkin sunnah dikatakan rekaan sedangkan ada pakar hadis yang begitu tegas dalam penapisan setiap sumber hadis yang sampai kepada kita hari ini. Atas sebab itu, ulama hadis mengkategorikan darjat hadis kepada beberapa kategori sahih, hasan, daif dan mauduk (palsu).

Semua itu untuk memastikan tiada sunnah palsu sampai kepada umat Islam pada zaman kemudian.

Justeru, ingin ditegaskan sunnah penting dalam hidup manusia khususnya dalam perundangan Islam. Hadis mentafsir dan menerangkan segala pengertian ayat dalam al-Quran yang bersifat mujmal atau umum.

Al-Sunah juga bertujuan mensyariatkan hukum hakam baharu yang tidak terdapat dalam al-Quran. Hukum itu akan dijelaskan secara terperinci oleh Baginda SAW berdasarkan wahyu Allah SWT.

* Penulis ialah pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Berita Harian X