Jumaat, 14 Julai 2017 | 12:01am

Si kecil bersikap dominan

IBU bapa perlu menggunakan perkataan lembut tetapi tegas apabila menegur anak-anak.
IBU bapa perlu menggunakan perkataan lembut tetapi tegas apabila menegur anak-anak.

Soalan 1

Anak saya lapan tahun suka mendominasi dan sentiasa hendak menang. Kadang-kadang sikapnya bertukar menjadi agresif, dia akan pukul orang atau kanak-kanak lain. Amaran keras dan hukuman tidak berkesan.

Suraya Amin,

Presint 8, Putrajaya.

Sikap dominan dari perspektif positif, ia menunjukkan kewibawaan seseorang kanak-kanak untuk mengetuai, menguasai dan memenangi sesuatu situasi. Menang dalam pergaduhan dan dalam sesuatu konflik merebutkan sesuatu, antara contoh sikap dominan.

Malah, berupaya menguasai pemikiran orang lain agar mengikut cakap dan kehendaknya juga tanda sikap mendominasi.

Biasanya, kanak-kanak berusia empat atau lima tahun mula membentuk sikap dominasi ini apabila ibu bapa atau guru prasekolah memuji kehebatannya dalam sesuatu tugas yang diberi.

Sikap dominasi positif ini akan bertukar negatif jika pujian itu keterlaluan sehingga si kecil berasa hebat dan perlu diutamakan tanpa perlu mengutamakan hak orang lain.

Sikap negatif ini akan menjadi semakin buruk jika dia tidak dapat mengawal perasaannya dan mula bertindak agresif sama ada secara fizikal, mengeluarkan kata-kata kesat atau mencari pengaruh dengan mengajak rakan sebaya memulau rakan mereka.

Kenal pasti faktor utama

Ibu bapa perlu mengenal pasti faktor utama tindakan agresif itu adakah kerana provokasi; contoh si kecil diejek atau dicabar atau kerana inginkan sesuatu seperti mainan yang dimiliki oleh kanak-kanak lain dan tidak berjaya memperolehnya.

Lalu, disebabkan rasa geram yang memuncak dia mula menyerang bertujuan menyakitinya.

Kebolehan mengawal emosi, kecenderungan bertindak agresif dan penaakulan moral ada kaitannya dengan bagaimana otak bahagian depan berfungsi.

Dapatan dari kajian ilmiah membuktikan, tingkah laku agresif remaja dan kanak-kanak peringkat usia pertengahan ada kaitannya dengan perangai yang tidak dibendung ketika di usia awal kanak-kanak. Justeru, perkembangan sahsiah dan emosi si kecil, aspek utama perlu diberi perhatian bukan kognitif!

Henti memukul

Bagi membendung sikap agresif si kecil dari terus menjadi masalah, elakkan memukulnya. Pukulan tidak akan meredakan ketegangan, malah si kecil tidak akan dapat belajar memahami apa yang dirasai orang lain kerana contoh teladan tidak ditunjukkan kepadanya!

Si kecil perlu diajar dan diberitahu ada cara lain untuk menyelesaikan masalah dan agresif bukan caranya.

Semakin teruk hukuman berbentuk pukulan yang dikenakan, si kecil akan menjadi bertambah agresif dan masalah tidak akan dapat diselesaikan.

Tingkah laku agresif perlu dihentikan dengan cara lembut tetapi bernada tegas dan bukan dengan cara bertindak agresif terhadapnya.

* Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling UIA.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X