Jumaat, 14 Julai 2017 | 12:04am
PENYANYI rock tersohor, Amy Search. - Foto Shiraz Ali

Kopi Phewiiit!, asam pedas Amy Search masuk Kuwait

KUALA LUMPUR: Penyanyi rock tersohor, Amy Search, semakin rancak mengatur langkah di arena perniagaan apabila menghasilkan Phewiiit! Coffee dan Asam Pedas Segera yang bakal memasuki pasaran Kuwait, bulan depan.

Katanya, kopi dan hidangan kegemaran yang baru diperkenalkan itu terlebih dulu menjengah pasaran luar negara menerusi penyertaan dalam Malaysian Millennium Entrepreneurs Consortium (MMEC).

Amy atau nama penuh Suhaimi Abdul Rahman, 59, itu berkata permintaan meluas terhadap produk minuman dan makanan buatan tempatan membuatkannya yakin ia berpotensi untuk diperluaskan.

"Perniagaan makanan bukan asing kepada saya. Malah, sebagai seorang yang sukakan kopi dan minat memasak, saya mahu berkongsi keenakan kedua-dua produk ini bersama penggemar lain.

"Apabila meraih sambutan ketika diperkenalkan ketika menyertai Ekspo MAHA pada November tahun lalu, saya berazam untuk menghasilkannya dengan skala lebih besar, selain giat menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D).

AMY atau nama penuh Suhaimi Abdul Rahman kini agresif dalam bidang perniagaan. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Lebih istimewa apabila ada pihak daripada MMEC pula mengajukan tawaran membawa produk ini ke Kuwait, bulan depan, disusuli pasaran Mongolia selepas itu," katanya.

Berkongsi perancangan terhadap cabang bisnes baharu ini, Amy yang sudah lebih 35 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, mengakui beliau disokong pasukan mantap sama ada dari segi perkilangan, pemasaran mahu pun promosi.

"Perniagaan adalah tumpuan utama saya ketika ini. Bukan tidak lagi aktif dalam bidang nyanyian, cuma lapangan yang turut memberikan cabaran berbeza ini memerlukan perhatian lebih buat masa ini.

AMY Search bersama isteri, Norish. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Walaupun mempunyai pasukan yang pakar, saya perlu 'turun padang' dan sama-sama menyalurkan tenaga dan idea, apatah lagi melihatkan pasaran permulaannya di luar negara sebelum meneroka arena tempatan.

"Bersandarkan permintaan, kami anggarkan bakal mengeksport dulu satu kontena kopi dan asam pedas dalam bentuk serbuk ini," kata vokalis Search itu dalam nada teruja.

Tidak pernah duduk diam, sebelum ini kelibat bapa kepada lima cahaya mata dan seorang cucu itu juga dilihat memasarkan pakaian serta songkok di bawah jenama General Product By Amy Search yang diperkenalkan sejak tahun lalu.

INFO

  • - Sudah lebih 35 tahun berkecimpung dalam industri hiburan.
  • - Phewiiit! Coffee dan Asam Pedas Segera menjengah pasaran luar negara menerusi Malaysian Millennium Entrepreneurs Consortium (MMEC).
  • - Pernah memasarkan pakaian serta songkok di bawah jenama General Product By Amy Search, tahun lalu.
  • - Rekaan persalinan lelaki lengkap bersongkok pernah ditonjolkan dalam pertunjukan fesyen Minggu Fesyen Islamik Asia 2017, April lalu.
Berita Harian X