Jumaat, 14 Julai 2017 | 12:06am
SYAMSUL menunjukkan pelbagai koleksi figura aksi yang dikumpulnya. - Foto Nor Farhani Che Ad
SYAMSUL menunjukkan pelbagai koleksi figura aksi yang dikumpulnya. - Foto Nor Farhani Che Ad

Obses kumpul figura aksi bertukar terapi 

SUNGAI PETANI: Hidup bertemankan lebih 500 figura aksi terutama barisan 'super hero' kegemaran, ibarat mimpi menjadi kenyataan bagi mana-mana individu, khususnya pengumpul koleksi mainan.

Bagi sesetengah pihak ia mungkin dilihat kebudak-budakan, namun bagi individu berstatus 'pengumpul' figura aksi, ia sebenarnya jauh lebih luas daripada sekadar hobi.

Syamsul Anuar Samsuddin, 41, antara individu yang tergolong dalam kumpulan 'pengumpul' apabila mengabadikan hampir sedekad hidupnya untuk menghimpunkan pelbagai koleksi figura aksi meliputi pelbagai watak.

SYAMSUL Anuar Samsuddin mengabadikan hampir sedekad hidupnya untuk menghimpunkan pelbagai koleksi figura aksi meliputi pelbagai watak. - Foto Nor Farhani Che Ad
SYAMSUL Anuar Samsuddin mengabadikan hampir sedekad hidupnya untuk menghimpunkan pelbagai koleksi figura aksi meliputi pelbagai watak. - Foto Nor Farhani Che Ad

ANTARA koleksi figura aksi milik Syamsul. - Foto Nor Farhani Che Ad
ANTARA koleksi figura aksi milik Syamsul. - Foto Nor Farhani Che Ad

Pastinya, koleksi figura aksi Transformers paling digemari guru di Institut Kemahiran MARA (IKM) itu, selain beberapa figura yang membintangi filem Hollywood seperti watak Star Wars, Batman, Spiderman, Ninja Turtles dan banyak lagi.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu ketika ditemui mengakui ketika ini lebih 500 permainan majoritinya membabitkan figura aksi berada dalam simpanannya.

"Saya minat figura aksi ini sejak kecil, namun keadaan kewangan yang tidak mengizinkan membataskan kemampuan saya untuk memiliki dan mengumpul koleksi yang diminati.

"Saya benar-benar serius mengumpul koleksi permainan selepas mula bekerja dan mempunyai wang sendiri.

"Sejak itu, saya mula mengumpul permainan sedikit demi sedikit mengikut kemampuan sehingga kini mempunyai lebih 500 koleksi hasil usaha mengumpul selama kira-kira 10 tahun," katanya ketika ditemui BH Plus di rumahnya di Taman Peruda, di sini.

Syamsul Anuar ketika ditanya mengakui hobinya itu memerlukan kos tinggi, terutama untuk mendapatkan figura aksi lebih-lebih lagi yang disifatkan sebagai terhad dan jarang dimiliki.

"Saya mengamalkan prinsip di mana sentiasa memastikan minat saya ini tidak menjejaskan perbelanjaan buat keluarga, dengan membeli permainan atau figura aksi mengikut kemampuan.

"Sebagai contoh jika koleksi yang dikeluarkan terlalu mahal dan di luar kemampuan, saya akan mencari alternatif lain termasuk mendapatkan mainan terpakai untuk memenuhi koleksi diimpikan. Apa yang penting pilihan itu ada di tangan kita.

MINAT mengumpul koleksi model mainan itu turut mendapat sokongan daripada isterinya, Haslina Darus, (kanan). - Foto Nor Farhani Che Ad
MINAT mengumpul koleksi model mainan itu turut mendapat sokongan daripada isterinya, Haslina Darus, (kanan). - Foto Nor Farhani Che Ad

"Ada mainan yang saya beli dalam keadaan baharu dengan harga antara RM10 hingga RM300 seunit. Sekiranya terdapat koleksi yang terlalu mahal, saya akan ambil masa untuk mendapatkan koleksi terpakai daripada pengumpul lain," katanya yang mengakui membelanjakan hampir RM10,000 untuk mengumpul koleksi seperti dimilikinya ketika ini.

Ditanya kenapa memilih hobi itu, beliau berkata, ia sebenarnya lebih daripada sekadar minat, kerana baginya koleksi yang dimiliki itu diibarat terapi bagi dirinya terutama untuk mengatasi tekanan selepas seharian bekerja.

"Saya bukan sahaja bermain dengan permainan itu, tetapi gemar mengambil gambar setiap koleksi. Saya juga mengecat semula setiap koleksi mainan ini sebagai cara mengurangkan tekanan.

"Bagi pengumpul mainan dan figura aksi ini, kami ada komuniti tersendiri yang sering berkomunikasi bagi bertukar pandangan, selain bertukar maklumat untuk mendapatkan koleksi mainan terpakai, selain bekerjasama mengadakan pameran koleksi model mainan setiap kali siri baharu bagi filem tertentu bakal ditayangkan. Contohnya, seperti membabitkan Transformers di Amanjaya Mall, di sini, baru-baru ini.

"Selain mengumpul, koleksi dimiliki juga boleh dianggap sebagai pelaburan kerana item terhad dan jarang ada, mempunyai permintaan sekali gus harga juga mampu melonjak tinggi," katanya.

Fakta Nombor

  • * RM10,000 - anggaran nilai koleksi.
  • * 500 - koleksi pelbagai figura aksi, terutama Transformers.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X