Jumaat, 14 Julai 2017 | 12:07am
ANAK muda bersemangat ketika menjayakan aktiviti di Masjid Bandar Rinching, Semenyih. - Foto Ihsan Pembaca

Siak muda Masjid Bandar Rinching

KUALA LUMPUR: Kebiasaannya kita melihat golongan veteran banyak terbabit dalam aktiviti mengimarahkan masjid, termasuk menganjurkan program gotong-royong serta melakukan tugas harian bagi memastikan masjid diuruskan dengan baik.

Namun, berbeza dengan Masjid Bandar Rinching, Semenyih, tugas itu dilakukan kanak-kanak serta remaja yang dibentuk menerusi program 'Siak Muda' sebagai inisiatif pihak pengurusannya.

Matlamatnya adalah memastikan anak kariah mesra dan menjadikan masjid sebagai rumah kedua mereka. Lengkap dengan uniform kemeja-T tertulis 'Siak Muda', khidmat secara sukarela itu dianggotai lebih 38 anak kariah berumur antara tujuh hingga 16 tahun.

SEMANGAT kerjasama ditunjukkan anak muda dalam program di Masjid Bandar Rinching, Semenyih. - Foto Ihsan Pembaca

ANTARA aktiviti ​membabitkan anak muda di Masjid Bandar Rinching, Semenyih. - Foto Ihsan Pembaca

Pihak masjid menerusi Biro Pemuda dan Remaja menyediakan jadual dan menyusun pelbagai aktiviti bersesuaian berbentuk khidmat masyarakat, pendidikan, keagamaan dan sukan untuk siak muda itu.

Nazir Masjid Bandar Rinching, Datuk Abd Jabar Che Nai, berkata program Siak Muda yang masuk tahun kedua itu dibuat secara kerjasama membabitkan pihak pengurusan masjid dan ibu bapa.

"Inisiatif sebegini banyak membantu menarik lebih ramai jemaah muda. Kami menyediakan aktiviti bersesuaian dengan umur mereka di masjid dan dipelbagaikan dengan program termasuk perkhemahan serta sukan terutama pada musim cuti sekolah," katanya.

NAZIR Masjid Bandar Rinching, Datuk Abd Jabar Che Nai. - Foto Luqman Hakim Zubir

Beliau berkata, masjid itu mempunyai cara tersendiri untuk mencari dana dan tidak bergantung kepada sumbangan pihak lain dalam melaksanakan aktiviti atau projek.

Masjid Bandar Rinching mempunyai koperasi yang diuruskan ahli kariah sebagai usaha mengukuhkan ekonomi ummah.

Pada masa sama, mereka turut menyediakan peluang kepada jemaah dan masyarakat setempat untuk berniaga di lot kedai masjid dengan kadar sewa berpatutan. Antara kedai yang ada di pekarangan masjid termasuk kedai gambar dan kedai runcit.

"Kita merancang membina lebih banyak lot kedai untuk disewakan, selain cadangan mewujudkan bazar setiap Jumaat. Kita juga sedang berusaha menambah pendapatan bagi menaikkan elaun bulanan untuk tiga imam sedia ada," katanya.

KEADAAN di dalam Masjid Bandar Rinching. - Foto Luqman Hakim Zubir

Abd Jabar berkata, Masjid Bandar Rinching yang dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Ramadan lalu dijangka dinaik taraf bagi mengatasi masalah kepadatan penduduk.

Katanya, cadangan itu bakal direalisasikan dalam tempoh lima tahun akan datang tertakluk kepada bajet dan masjid satu tingkat itu akan dinaik taraf kepada tiga tingkat bagi menampung pertambahan penduduk.

FAKTA NOMBOR

2013 Masjid Bandar Rinching siap dibina.

RM3 juta kos pembinaan di atas tanah seluas 2.69 ekar (10,890 meter persegi).

INFO

Masjid Bandar Rinching

  • *Ruang solat utama tiada tiang bagi memaksimumkan penggunaan ruang yang ada.
  • *Ruang solat utama boleh menampung seramai 364 orang dan di luar sekitar 340 orang.
  • * Kemudahan disediakan antaranya ruang dewan terbuka, ruang solat tambahan dan parkir kereta.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X