Sabtu, 15 Julai 2017 | 12:04am

Barah hati boleh dikesan awal

MENJALANI ujian fungsi hati (LFT) adalah prosedur terbaik mengesan keabnormalan hati yang menjadi punca barah yang tidak boleh dibedah atau karsinoma hepatoselular (HCC).

Ujian itu penting kerana lazimnya HCC tidak menunjukkan sebarang gejala ketara pada peringkat awal dan mampu merebak tanpa dikesan.

Kebanyakan pesakit menyedari mereka diserang HCC selepas berlaku komplikasi sukar dirawat dan barah berada pada tahap empat.

Pembawa tidak alami gejala

Pakar Bedah Hepato-Pancreato-Biliary (HPB), Pusat Perubatan Sunway Prof Madya Bong Jan Jin, berkata kebanyakan pesakit yang datang dikenali sebagai pembawa virus Hepatitic B (HBV).

Beliau yang juga Pensyarah Universiti Monash berkata, pembawa bermakna mereka mengalami jangkitan HBV.

Bagaimanapun, katanya, pembawa tidak mengalami sebarang gejala sepanjang sepuluh hingga 20 tahun serta menjalani kehidupan normal.

"Sekiranya mereka menjalani ujian fungsi hati, semuanya kelihatan normal termasuk ujian darah tetapi tidak sedar terdapat kumpulan sub pesakit berisiko mengalami HCC," katanya pada majlis meraikan ulang tahun ke 10 Sorafenib, terapi oral khusus untuk HCC.

Pada majlis sama, Bayer Co (Malaysia) Sdn Bhd mengumumkan kerjasama dengan Cancerfly Networks dengan menawarkan ujian LFT kepada orang ramai sempena Program Kesejahteraan Can-Sihat dan Kesihatan pada Julai ini.

Tingkat peluang sembuh

Sementara itu, Pakar Onkologi dan Ketua Jabatan Onkologi dan Radioterapi Hospital Kuala Lumpur, Dr Ros Suzanna Ahmad Bustamam, berkata pengesanan awal HCC penting untuk meningkatkan peluang penyembuhan.

Mereka yang sudah dijangkiti Hepatitis B atau C, penyakit hati berlemak atau sirosis hati akibat pengambilan alkohol perlu menjalani pemeriksaan LFT.

Info

- Jaundis dan kegagalan fungsi hati

- Perut membesar

- Pendarahan saluran makanan atau bahagian gastrik

- Kiraan platelet rendah

- Pengsan

- Kegagalan buah pinggang

2. Komplikasi hepatoma:

- Tumor pecah dan pendarahan dalam abdomen.

- Fungsi hati yang teruk.

- Kekurangan nutrisi.

- Salur darah tersumbat akibat darah beku. (menghalang darah ke hati dan usus)

- Barah merebak.

Risiko mengalami HCC:

- Pengambilan alkohol yang tinggi.

- Sejarah keluarga penghidap penyakit hati.

- Berat badan berlebihan terutama pesakit diabetes, tekanan darah tinggi.

- Mengambil ubat yang merosakkan hati.

Berita Harian X