Sabtu, 15 Julai 2017 | 12:08am

Abam minta ibu carikan jodoh

KUALA LUMPUR: Pada usia 29 tahun, persoalan mengenai jodoh sering diajukan kepada artis komedi popular, Abam. Jejaka itu bagaimanapun enggan tergesa-gesa, sebaliknya ingin terlebih dulu menyempurnakan senarai impian sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Selagi segala perancangannya belum menjadi kenyataan, Abam atau nama lengkapnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan tidak ralat melupakan dulu hasratnya itu. Barangkali kerana pendiriannya itu, Abam tidak kisah masih bersendirian, walaupun jauh di sudut hati, dia berhasrat menamatkan zaman bujang sebelum mencecah usia 30 tahun.

Abam tidak menafikan, sering menerima usikan nakal, malah ada peminat wanita secara terbuka meluahkan hasrat mahu melamar dan mengajaknya berkahwin. Tidak mahu terlalu serius memikirkannya, Abam sebaliknya menganggap, perkara itu hanya sebagai gurauan.

ARTIS komedi popular, Abam. - Foto Saifullizan Tamadi
ARTIS komedi popular, Abam. - Foto Saifullizan Tamadi

"Ada peminat menawarkan diri untuk melamar dan berkahwin dengan saya di ruangan komen di laman sosial. Pada saya, itu hanya usikan manja mereka dan ia perkara biasa yang dilalui selebriti. Secara logiknya, tiada siapa yang akan berbuat demikian secara terbuka.

"Mungkin juga tujuan mereka itu ada makna lain yang kita tidak tahu. Tetapi, saya tidak mengambilnya terlalu serius," katanya tertawa.

Minta ibu carikan jodoh

Abam sebelum ini, pernah meminta ibunya, Sabariah Arshad, 62, supaya mencarikannya jodoh kerana sukar untuk dia mempercayai keikhlasan hati wanita yang mendekatinya.

"Saya mahu wanita yang sedia menerima saya seadanya, bukan kerana status saya sebagai artis. Emak juga pernah bertanya kerana semua adik saya sudah berumah tangga dan memilik cahaya mata. Tetapi, emak memahami dan tidak pula memaksa," katanya.

ABAM pernah meminta ibunya mencarikannya jodoh kerana sukar untuk dia mempercayai keikhlasan hati wanita yang mendekatinya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ABAM pernah meminta ibunya mencarikannya jodoh kerana sukar untuk dia mempercayai keikhlasan hati wanita yang mendekatinya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Artis Komedi Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29) itu berkata, dia tidak takut untuk mendirikan rumah tangga, cuma jodoh masih belum berpihak kepadanya.

"Saya bukan takut hendak berkahwin, tetapi hakikatnya jodoh saya belum sampai. Bagi saya, biar emak dan nenek yang tentukan. Jika emak berkenan dengan gadis pilihan, saya akan fikirkan. Saya tidak akan membelakangkan restu orang tua dalam hal ini," katanya.

Kejar impian

Ahli kumpulan Bocey itu berkata, antara impiannya adalah memiliki kediaman sendiri dan kenderaan yang selesa. Selepas lima tahun bekerja keras, Abam bersyukur kerana hampir 90 peratus impiannya itu sudah tercapai.

Abam juga mampu menarik nafas lega kerana impian untuk menyediakan segala kelengkapan dan keperluan untuk ibu serta keluarganya sudah terlaksana.

"Saya mahu kumpul harta dan memastikan kehidupan stabil sebelum menggalas tanggungjawab sebagai suami. Apabila berkahwin nanti, saya tidak perlu menyewa lagi kerana sudah ada kediaman sendiri. Ini penting untuk menjamin masa depan bakal isteri.

ABAM mahu kumpul harta dan memastikan kehidupan stabil sebelum menggalas tanggungjawab sebagai suami. - Foto Nurul Shafina Jemenon
ABAM mahu kumpul harta dan memastikan kehidupan stabil sebelum menggalas tanggungjawab sebagai suami. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Alhamdulillah, setakat ini sudah 90 peratus impian saya tercapai. Masih ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan, membuatkan saya terpaksa melupakan seketika soal teman wanita dan perkahwinan," katanya.

Pada masa sama, Abam juga menggalas tanggungjawab menjaga ibunya yang kurang sihat selepas patah kaki, tiga tahun lalu. Kejadian malang itu berlaku ketika Abam menerima trofi Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH pada 2013.

"Emak di bilik air ketika nama saya diumumkan sebagai Artis Komedi Lelaki Popular. Apabila nenek menjerit nama saya, emak berlari keluar dan ketika itu, dia tergelincir menyebabkan tulang pehanya patah.

"Walaupun sudah membuat pembedahan, ia mengambil sedikit masa untuk sembuh sepenuhnya. Emak sudah boleh berjalan, tetapi masih belum kuat," katanya yang bakal mengacara rancangan Temasya Sukan Ke Laut (TSKL) untuk siaran Astro Warna.

KUMPULAN Bocey. - Foto Nurul Shafina Jemenon
KUMPULAN Bocey. - Foto Nurul Shafina Jemenon

INFO

  • Nama Penuh: Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan
  • Nama Komersial : Abam Bocey
  • Tarikh Lahir : 19 November 1988)
  • Asal : Gombak
  • Pencapaian:
    • Naib Juara - Bintang Mencari Bintang Musim Pertama (2013)
    • Tempat Ke-3 - Maharaja Lawak Mega 2013
    • Tempat Ke-5 - Maharaja Lawak Mega 2014
    • Tempat Ke-5 - Juara Parodi 2015
    • Juara - Maharaja Lawak Mega 2016
    • Naib Juara - Super Spontan Superstar (2016)
    • Juara - Maharaja Lawak Mega 2017
    • Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 dan 2015

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X