Isnin, 28 Disember 2015 | 11:58am

6 ditahan termasuk pasangan khalwat di Alor Setar

ALOR SETAR: Sepasang kekasih dan empat lelaki ditahan dalam operasi bersepadu membanteras gejala sosial di sekitar bandar raya ini, tengah malam tadi.

Operasi lebih empat jam bermula jam 11 malam itu membabitkan 48 penguat kuasa daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Setar dan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).

Ketua Bahagian Inspektorat Kesihatan dan Persekitaran MBAS, Narisa Mohd Hashim, berkata dalam serbuan dilakukan pihak JAIK, sepasang kekasih ditahan atas kesalahan khalwat di sebuah hotel murah di sini.

Katanya, selain membanteras gejala sosial, operasi turut tertumpu kepada pemeriksaan untuk memastikan syarat lesen dikeluarkan dipatuhi pemilik hotel.

"Enam hotel diperiksa dan dua daripadanya dikompaun atas kesalahan tiada lesen serta memaparkan iklan tanpa lesen.

"Mereka diberi notis dan diarah memberhentikan perniagaan serta-merta dan menurunkan papan iklan dalam tempoh satu hari. Jika masih berdegil, tindakan lanjut akan diambil," katanya.

Operasi itu turut memeriksa enam individu disyaki penagih dan hasil ujian saringan awal mendapati empat daripadanya positif dadah jenis syabu dan heroin.

Berita Harian X