Isnin, 25 Januari 2016 | 9:26am

Anggota JPAM pantau kawasan rekreasi

PADANG RENGAS: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Perak akan menempatkan anggotanya di beberapa kawasan rekreasi berisiko seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi sebarang kejadian tidak diingini.

Pengarahnya, Kolonel (PA) Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman, berkata antara lokasi yang dikenal pasti termasuk kawasan air terjun Lata Ulu Chepor di sini dan beberapa kawasan dalam daerah Batang Padang serta Kampar.

Beliau berkata, anggota JPAM terbabit akan dibantu Pasukan Tindakan Awal Kecemasan Komuniti (CDERT-C) yang diwujudkan di kawasan berkenaan.

"Kita mahu komuniti setempat mengurus tempat rekreasi berkenaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana dan pasukan itu dapat bertindak awal sebelum bantuan tiba," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Tamat Latihan Asas CDERT-C di Kampung Ngor-Changkat Duku, dekat sini, malam tadi.

CDERT-C Kampung Ngor-Changkat Duku adalah pasukan pertama menamatkan model latihan selama 20 jam di Perak merangkumi pengetahuan pelan keselamatan, pencegahan kebakaran, pusat pemindahan dan kawad.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Hassan Ashari berkata, sehingga kini Perak mempunyai 189 pasukan CDERT-C yang diwujudkan bagi memberi pengetahuan kepada komuniti setempat mengenai langkah mengurang dan menangani bencana di kawasan mereka.

"Penubuhan pasukan ini menjadi penting kerana sejak kebelakangan ini, beberapa kampung di pesisiran Sungai Perak kerap dilanda banjir dan ribut.

"Dengan adanya pasukan ini, kita dapat menjalankan operasi menyelamat lebih awal, sekali gus mengurangkan impak (kejadian tidak diingini) dan memberikan kelangsungan kepada kawasan dilanda bencana," katanya.

Beliau berkata, JPAM Perak juga bercadang menubuhkan pasukan penyelamat pantai di Teluk Nipah, Pangkor dalam tempoh terdekat bagi membantu agensi penyelamat lain. - BERNAMA

Berita Harian X