X
Khamis, 28 Januari 2016 | 8:07am

Kedah terus suburkan pendidikan agama, tahfiz

MENTERI Besar Kedah,Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria (tiga dari kanan) beramah mesra dengan orang ramai selepas majlis penutup Hafal Al-Quran di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah,Jalan Empangan Pedu. - Foto Amran Hamid
MENTERI Besar Kedah,Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria (tiga dari kanan) beramah mesra dengan orang ramai selepas majlis penutup Hafal Al-Quran di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah,Jalan Empangan Pedu. - Foto Amran Hamid

PEDU: Kedah akan terus membina sekolah agama terutamanya maahad tahfiz di negeri ini, selain membantu institusi pendidikan itu supaya terus subur.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata semua bantuan itu akan cuba disalurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JAIK), Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK).

"Bagi pihak kerajaan Kedah, saya bersama barisan anggota pimpinan kerajaan akan terus memastikan pengajaran dan pembelajaran al-Quran terus subur di negeri ini.

"Banyak sekolah agama terutamanya maahad tahfiz sudah dibina dan akan dibina...kita akan sentiasa membantu sekolah ini dengan pelbagai bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Program Hafazan al-Quran peringkat negeri Kedah, di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Jalan Empangan Pedu, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Mukhriz berkata, kerajaan negeri berharap supaya pusat pendidikan maahad tahfiz di negeri ini berupaya melahirkan tokoh cendekiawan Islam yang berkaliber, progresif dan prolifik.

Beliau berkata, dengan lahirnya tokoh intelek Islam dari maahad tahfiz ini, mereka mampu berhujah dengan menggunakan al-Quran dalam menghadapi serangan pemikiran daripada musuh Islam.

"Kita sering mendengar nama seperti Ahmad Deedat, Harun Yahya dan Dr Zakir Naik di peringkat antarabangsa yang terkenal sebagai tokoh yang berhujah dan menulis berpedomankan wahyu Rabbani ini," katanya.

Berita Harian X