Isnin, 8 Februari 2016 | 12:01pm

Ipin, Max gaul Yee Sang bersama pengunjung THLL

KAKITANGAN Taman Hidupan Liar Langkawi dan pelancong memberikan Yee Sang kepada monyet jinak, Ipin pada gimik sambutan Tahun Baru Cina 2016. - Foto Hamzah Osman
KAKITANGAN Taman Hidupan Liar Langkawi dan pelancong memberikan Yee Sang kepada monyet jinak, Ipin pada gimik sambutan Tahun Baru Cina 2016. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Sajian Yee Sang kepada Ipin dan Max, dua monyet jinak berusia empat bulan dan tiga tahun memeriahkan gimik sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) di sini, hari ini.

Terdahulu acara menggaul Yee Sang mulai jam 10 pagi oleh kakitangan pusat pelancongan itu turut disertai pelancong tempatan dan asing.

Ipin adalah monyet jjnak dari spesies Long Tail Macaque, manakala Max (Blue Monkey) yang dipelihara oleh THLL sejak kecil lagi.

Pengurus Taman dan Perhubungan Awam THLL, Nur Hamzani Hamzah berkata, acara itu adalah sebahagian program yang disusun bagi memeriahkan sambutan TBC 2016 yang juga Tahun Monyet.

"Tahun lalu kami sajikan makanan tradisi masyarakat Tiong Hua, Yee Sang kepada kambing sempena Tahun Kambing dan kali ini kami lakukan acara sama untuk monyet.

"Sungguh meriah apabila acara ini turut disertai pelancong tempatan dan asing yang teruja apabila dapat bersama-sama menggaul Yee Sang sebelum diberikan kepada Ipin dan Max yang jinak, yang masing-masing dipakaikan cheongsam," katanya ketika ditemui di sini.

Nur Hamzani berkata, THLL yang memiliki lebih 60 spesies haiwan dari dalam dan luar negara adalah antara destinasi mesti lawat kepada pelancong yang berkunjung ke Langkawi.

"Sebagai tarikan kami turut menyajikan beberapa acara lain pada setiap hari yang membolehkan pengunjung pelbagai peringkat umur yang berada di taman ini dapat berinteraksi dengan haiwan peliharaan.

"Antaranya, pengunjung boleh memberi ikan koi atau nama saintifiknya `Cyprinus carpio' yang dipelihara dalam kolam makan menggunakan botol susu bayi, juga satu pengalaman baharu jika berkunjung ke sini," katanya.

Beliau berkata, THLL mendapat empat pengiktirafan portal pelancongan terbesar Tripadvisor.com selama tiga tahun berturut-turut sejak 2013 iaitu Anugerah Kecemerlangan 2013 dan 2015,  Tempat Tarikan Pilihan Pelancong (2014 dan 2015).

Taman dengan keluasan keseluruhan kira-kira lima hektar dan dikendalikan 40 kakitangan itu dibuka setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 6 petang.

Berita Harian X