Selasa, 23 Februari 2016 | 2:28pm

Tapak pelupusan sampah terbakar

ANGGOTA bomba memadam kebakaran di pusat pelupusan sampah Padang Siding di Ulu Pauh, Arau, pagi tadi. - Foto Eizairi Shamsudin
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di pusat pelupusan sampah Padang Siding di Ulu Pauh, Arau, pagi tadi. - Foto Eizairi Shamsudin

ARAU: Pusat pelupusan sampah Padang Siding di Ulu Pauh, di sini, terbakar kira-kira jam 6 pagi tadi, dipercayai akibat cuaca panas dan kering.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Mohd Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.15 pagi dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati api marak membakar kawasan dan boleh menjejaskan rumah penduduk kampung berhampiran.

"Seramai 30 anggota dan lima jentera bomba dari Balai Bomba Arau dan Simpang Empat tiba di lokasi pada 7.25 pagi.

"Kita terpaksa menggunakan dua jengkaut bagi membantu operasi memadam kebakaran.

"Bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal kebakaran daripada merebak. Tapak pelupusan itu berkeluasan lebih 11 hektar, namun hanya kira kira lapan hektar yang terbakar.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan tetapi ia mungkin disebabkan cuaca panas dan kering," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, sebentar tadi.

Kebakaran di tapak pelupusan sampah Padang Siding itu adalah yang kedua selepas Februari 2014.

Berita Harian X