Isnin, 29 Februari 2016 | 9:04pm

5 perintis Program Kepemimpinan Wanita di Jepun

RAJA Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Pemegang Amanah YTF, Tan Sri Ng Yen Yen bergambar bersama penerima biasiswa YTF pada Majlis Penganugerahan Surat Tawaran Biasiswa YTF di Istana Arau, petang tadi. - Foto Eizairi Shamsudin
RAJA Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Pemegang Amanah YTF, Tan Sri Ng Yen Yen bergambar bersama penerima biasiswa YTF pada Majlis Penganugerahan Surat Tawaran Biasiswa YTF di Istana Arau, petang tadi. - Foto Eizairi Shamsudin

ARAU: Lima mahasiswa universiti awam tempatan dipilih sebagai kumpulan perintis Program Kepemimpinan Wanita hasil kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Universiti Antarabangsa Josai (JIU) di Tokyo, Jepun.

Selain tiga mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dua lagi mewakili Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), yang masing-masing menerima biasiswa YTF.

Kelima-lima mereka akan menjalani program berkenaan selama setahun di Jepun bermula 2 April ini.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Biosistem UniMAP, Nurul Najwa Halim, 24, berkata keharmonian terhasil daripada rencam budaya di negara ini akan dikongsi kepada masyarakat di Jepun sepanjang setahun berada di sana.

"Saya akan mempromosikan nama negara di sana, secara tidak langsung berusaha menarik penduduk di negara itu untuk melancong ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media sempena Majlis Penganugerahan Surat Tawaran Biasiswa YTF di Istana Arau, di sini, petang tadi.

Pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Pengerusi YTF, berkenan menyampaikan sijil kepada lima graduan terbabit dengan disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Selain Nurul Najwa, dua lagi penerima biasiswa lain dari UniMAP ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa, Lim Xin Shi, 25 dan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa, Khuzaimah [email protected], 25.

Dua daripada UTEM pula adalah pelajar Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Termal Cecair, Nor Salihah Zaini, 24 dan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan, Nurul Afizan Yaakob, 24.

Pemegang Amanah YTF, Tan Sri Ng Yen Yen, berkata YTF menjalinkan kerjasama strategik bersama JIU selama lima tahun, dengan lima graduan wanita yang berpotensi akan dihantar setiap tahun untuk mengikuti program kepemimpinan bermula tahun ini.

"YTF akan menanggung segala perbelanjaan pelajar di Jepun, termasuk tempat tinggal dan elaun perbelanjaan RM1,000 sebulan.

"Kami mahu pelajar kumpulan pertama ini berkongsi cerita dengan masyarakat Jepun mengenai keistimewaan negara seperti mempunyai penduduk yang berbilang kaum," katanya.

Berita Harian X