Ahad, 10 April 2016 | 2:47pm

Hampir 40 rumah rosak dipukul ribut

AHMAD Rosidi Nyan, 40, melihat keadaan rumahnya yang ranap dipukul ribut di Kampung Padang Nyior, petang semalam. - Foto Shahrizal Md Noor
AHMAD Rosidi Nyan, 40, melihat keadaan rumahnya yang ranap dipukul ribut di Kampung Padang Nyior, petang semalam. - Foto Shahrizal Md Noor

PADANG TERAP: Sebuah rumah di sini, ranap sepenuhnya manakala lima lagi rosak teruk akibat dipukul ribut, petang semalam.

Ribut yang melanda jam 6.30 petang itu turut merosakkan hampir 40 rumah daripada empat kampung di sini, selain sebuah kereta musnah ditimpa pokok yang tumbang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Nyior, Norman Hassan, berkata ribut berkenaan menyebabkan sekurang-kurangnya 150 penduduk dari Kampung Pisang, Kampung Pong, Kampung Baru dan Kampung Padang Nyior, terjejas.

Katanya, ribut berkenaan turut menyebabkan 11 pokok tumbang, sehingga menghempap kenderaan.

"Saya dimaklumkan terdapat kepulan angin gelap kuat selepas hujan hingga menerbangkan bumbung dan memusnahkan kediaman penduduk kampung," katanya di sini, sebentar tadi.

Mangsa, Masri Awang Kechik, 60, dari Kampung Padang Nyior, berkata kepulan angin itu melalui rumahnya sehingga dia tidak dapat melihat padang bola yang terletak kira-kira 20 meter di hadapan rumahnya.

"Angin kencang datang secara tiba-tiba membuatkan saya sekeluarga ketakutan. Sebaik terdengar bunyi dengung kuat, saya keluar melalui pintu utama rumah dan melihat angin hitam menutupi padang bola terletak di depan rumah.

"Dalam keadaan ketakutan saya memanggil anak lelaki Mohd Hafiz Abd Deraman, 22, dan memintanya azan sebelum angin kuat mulai reda disusuli hujan lebat," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Berita Harian X