X
Isnin, 16 Mei 2016 | 1:18pm

Kerjasama, kesepakatan kunci kejayaan industri pendidikan

KANGAR: Kerjasama dan kesepakatan dalam kalangan penggerak industri pendidikan mampu menjamin kecemerlangan bidang itu, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, kemantapan sistem pentadbiran semata-mata tidak memadai kerana kunci kejayaan atau pencapaian matlamat terletak pada manusia.

"Pengetahuan, kemahiran, tenaga dan mentaliti akan mencorakkan sistem pengurusan dan akademik, namun kuncinya terletak pada kerjasama dan kesepakatan mereka yang terbabit.

"Dalam hubungan ini, saya mahu setiap kakitangan dalam industri pendidikan mempunyai integriti yang tinggi serta kompeten dalam bidang mereka," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda yang juga Tuanku Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bertitah pada majlis pengurniaan watikah pelantikan Ahli Lembaga Pengarah KUIPs di sini, malam tadi.

Raja Puan Muda Perlis, Hajah Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat pada majlis itu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Khairi Hasan, Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs yang juga Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Rektor KUIPs, Dr Mohd Mizan MOhammad Aslam.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, setiap kakitangan pendidikan perlu diberi latihan secukupnya dan komprehensif merangkumi aspek fizikal, emosi dan keintelektualan agar sistem pengurusan pendidikan menjadi mantap.

"Isu berkaitan perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana implikasinya terhadap aspirasi pihak berkepentingan khususnya pelajar amat besar," titah baginda.

Sementara itu, 'Majlis Apresiasi Kakitangan KUIPs 2015' turut diadakan serentak dengan pengurniaan watikah itu.

Ia menyaksikan bekas Mufti Perlis yang kini Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jemoreng, Sarawak, Dr Juanda Jaya dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Ustaz Abdul Malik Hussin menerima Anugerah Khas Canselor KUIPs.

KUIPs yang baru berusia dua tahun dan bernaung di bawah MAIPs mempunyai 237 pelajar yang mengikuti pengajian peringkat Diploma dan Ijazah pertama. - BERNAMA

Berita Harian X