Selasa, 17 Mei 2016 | 11:56pm

Remaja kritikal di ICU akibat kencing tikus

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan simptom kes kencing tikus atau leptospirosis membabitkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, selepas mangsa dikatakan mandi di Lata Bukit Perak, dekat Pendang awal bulan ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata mangsa Nur Iman Nor Hisham, berasal dari Gurun itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani sejak Ahad lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata keadaan pesakit ketika ini masih kritikal, sekali gus memerlukan rawatan rapi pakar perubatan.

"Pesakit yang mandi di Lata Bukit Perak pada 1 Mei lalu bersama tujuh rakan lain, mula menghidap demam, muntah dan sakit badan pada Khamis lalu dan mendapat rawatan awal di sebuah pusat Homeopati.

"Bagaimanapun dua hari kemudian remaja itu dimasukkan ke Hospital Yan sebelum dirujuk ke HSAH dan terus dimasukkan ke ICU.

"Pemeriksaan awal menunjukkan tanda jangkitan leptospirosis dan pihak hospital sudah menghantar sampel darah ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur untuk pengesahan," katanya melalui kenyataan media di sini sebentar tadi.

Pada masa sama, Norhizan berkata siasatan dijalankan pihaknya mendapati tujuh rakan mangsa yang turut mandi di kawasan rekreasi sama tidak mengalami gejala kencing tikus, malah tiada notifikasi kes leptospirosis di Pendang yang dikaitkan dengan Lata Bukit Perak dalam tempoh sama.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah Pendang bagaimanapun akan membuat pemeriksaan ke kawasan perkelahan itu esok untuk memastikan tahap kebersihannya.

"Kawasan itu tidak ditutup tetapi kami menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelak daripada mandi di kawasan rekreasi jika mempunyai luka, selain memakai alat pelindung diri...elakkan juga minum air sungai yang tidak dimasak dan amalkan menjaga kebersihan di tempat berkelah," katanya.

Berita Harian X