X
Ahad, 24 Julai 2016 | 6:21pm

16 rumah rosak akibat ribut di Kuala Nerang

SITI Esah Abdullah menunjuk kerosakan atap zink rumahnya yang rosak diterbangkan angin. - Foto Sharul Hafiz Zam
SITI Esah Abdullah menunjuk kerosakan atap zink rumahnya yang rosak diterbangkan angin. - Foto Sharul Hafiz Zam

PADANG TERAP: Sekurang-kurangnya 16 rumah di tiga kampung sekitar Kuala Nerang dekat sini, rosak dipukul ribut susulan hujan lebat lewat petang semalam.

Selain Kampung Lubuk Labi yang paling teruk terjejas dengan sembilan rumah dilapor rosak, dua lagi kawasan dilanda ribut dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu ialah Kampung Tanjung Kanan dan Kampung Kubang Palas, masing-masing membabitkan lima serta dua rumah.

Siti Esah Abdullah, 73, berada di bilik air rumahnya di Kampung Lubuk Labi sebelum dikejutkan dengan bunyi angin kuat hingga hiasan dinding rumahnya terjatuh.

"Tidak lama kemudian, atap zink ruang tamu dan bilik mula bergegar sebelum diterbangkan angin.

"Akibatnya, semua barangan di rumah termasuk katil, tilam dan selimut dibasahi hujan.

"Saya betul-betul takut dan tak tahu nak pergi mana sebab angin bertiup kencang. Saya cuma ingat mati dan terus berdoa supaya selamat.

"Saya tenangkan diri dan duduk di satu sudut rumah, namun terkejut apabila melihat atap di ruang tamu dan bilik tidur sudah tiada manakala air mula penuh di lantai ruang rumah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Padang Terap, Kamal Fauzi Osman, berkata borang bencana sudah diagih kepada semua mangsa ribut untuk memohon peruntukan membaiki rumah yang rosak.

"Biasanya bantuan membaiki bumbung diperoleh melalui JKM atau Pejabat Parlimen Padang Terap.

"Kita masih menunggu borang diserah kembali untuk tindakan susulan manakala bantuan awal membabitkan kit bencana iaitu selimut, alat pencuci serta kain pelekat sudah diserahkan kepada mangsa," katanya.

Berita Harian X