Rabu, 31 Ogos 2016 | 12:19pm

Merpati dan memerang jadi keunikan Hari Merdeka

PENGURUS Besar Taman Hidupan Liar Langkawi, Teoh Cheng Kung (lima dari kanan) melepaskan 59 burung merpati dari dalam sangkar sebagai gimik Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-59 di taman itu hari ini. - Foto Hamzah Osman
PENGURUS Besar Taman Hidupan Liar Langkawi, Teoh Cheng Kung (lima dari kanan) melepaskan 59 burung merpati dari dalam sangkar sebagai gimik Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-59 di taman itu hari ini. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Gimik melepaskan 59 burung merpati dan aksi unik sekumpulan memerang menaikkan Jalur Gemilang memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-59 di Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) di sini, hari ini. 

Acara melepaskan merpati pada jam 9 pagi itu disempurnakan Pengurus Besar taman itu, Teoh Cheng Kung bersama 60 kakitangan serta 100 pengunjung terdiri daripada pelancong tempatan dan asing. 

Pengunjung yang berada dalam taman itu secara spontan memberi tepukan gemuruh selepas teruja menyaksikan gelagat lima memerang secara bergilir menarik tali menaikkan Jalur Gemilang pada tiang setinggi 1.5 meter.   

Pengurus Taman dan Perhubungan Awam THLL Nur Hamzani Hamzah, berkata acara melepaskan 59 burung merpati dan memerang menaikkan Jalur Gemilang itu sebagai simbolik 59 tahun negara bebas daripada cengkaman penjajah. 

"Acara perarakan dan kibar Jalur Gemilang sudah menjadi kebiasaan apabila tiba musim bulan kemerdekaan setiap tahun, jadi kami cuba mencari kelainan dengan mengadakan acara melepaskan merpati dan aktiviti unik membabitkan memerang. 

"Walaupun ringkas tapi meriah dengan penyertaan kakitangan yang mengenakan baju bermotifkan Jalur Gemilang dijahit sendiri," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi. 

Beliau berkata, pada masa sama mereka turut bergotong-royong menyediakan sepanduk ucapan `Selamat Hari Kebangsaan' dan pelekat `Merdeka', `Sehati Sejiwa', `59 Tahun' untuk dipasang di sekitar taman itu. 

"Semua ini dilakukan sebagai tanda kami menyatakan semangat patriotik dan menunjukkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini," katanya.

Keterangan gambar:1. Pengurus Besar Taman Hidupan Liar Langkawi, Teoh Cheng Kung (lima dari kanan) melepaskan 59 burung merpati dari dalam sangkar sebagai gimik Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-59 di taman itu hari ini.

Berita Harian X