Ahad, 16 Oktober 2016 | 8:24pm
KETUA Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amirruddin Muhamed (dua kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada dan peserta yang menyertai Kursus Latihan Tenaga Pengajar Ilmu Al Quran di Institut Latihan Pegawai Awam (ILPA) Ipoh. - Foto Muhamad Izzat Nasuruden.
KETUA Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amirruddin Muhamed (dua kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada dan peserta yang menyertai Kursus Latihan Tenaga Pengajar Ilmu Al Quran di Institut Latihan Pegawai Awam (ILPA) Ipoh. - Foto Muhamad Izzat Nasuruden.

42 pendakwah sertai kursus pengajar al-Quran kaedah Abahata

IPOH: Dalam usaha mengembangkan ajaran Islam dengan berkesan, seramai 42 pendakwah menyertai kursus latihan tenaga pengajar al-Quran dengan kaedah Abahata.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Dr Amiruddin Mohamed berkata, kaedah berkenaan membolehkan pendakwah terbabit menguasai ilmu pembacaan al-Quran mengikut tajwid dalam tempoh 30 jam.

"Tenaga pengajar itu dilatih untuk menggunakan teknik baru ini kepada saudara baharu supaya lebih mudah difahami bagi membantu mereka yang baru memeluk Islam dan Orang Asli beragama Islam mempelajari kaedah pembelajaran al-Quran dengan lebih pantas dan berkesan.

"Program Abahata ini salah satu peruntukkan yang disalurkan dari Waqaf Perak Ar Ridzuan MAIPk yang sehingga kini bernilai RM1.6 juta hasil sumbangan masyarakat yang dikembalikan semula kepada pelatih berkenaan bagi membasmi buta huruf al-Quran dan pemantapan asas pemahaman dan pembacaan kitab suci itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Latihan Tenaga Pengajar kaedah Abahata untuk kumpulan mubaligh Perak Ar Ridzuan MAIPk di sini hari ini.

Kursus yang berlangsung selama dua hari dengan pelbagai pengisian menarik antaranya pengenalan kaedah membaca al-Quran Abahata, slot Tahsinul Qiraat yang dikendalikan oleh Johan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa baru-baru ini, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah, serta slot pedagogi pengajaran secara amali.

Beliau berkata, keberkesanan kaedah berkenaan terbukti menerusi pencapaian kanak-kanak berusia empat tahun mengkhatam al-Quran dalam tempoh enam bulan dan paling berusia 80 tahun dalam tempoh yang sama.

Katanya, Wakaf Pembangunan dan Perkembangan Ilmu Al-Quran adalah satu inisiatif MAIPk untuk menyebar luas ilmu al-Quran dalam kehidupan ummah melalui pembelajaran, pengajian, pemahaman, penghayatan, pengaplikasian tanpa mengira sempadan usia serta taraf kehidupan.

Berita Harian X