Selasa, 15 November 2016 | 11:34am

Pusat pemindahan banjir di Beruas ditutup

ANGGOTA Bomba memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan di Dewan Inderawati Beruas, malam tadi. - Foto Ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan di Dewan Inderawati Beruas, malam tadi. - Foto Ihsan Bomba

BERUAS: Pusat pemindahan banjir di Dewan Inderawati, di sini, ditutup jam 9.20 pagi tadi selepas air mulai surut.

Seramai 141 mangsa banjir membabitkan 50 keluarga yang ditempatkan di pusat berkenaan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir kilat kembali surut.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Manjung, Nasarudin Abu Bakar berkata, pusat pemindahan itu ditutup berikutan air sudah mula surut sepenuhnya pagi ini selepas ia dibuka jam 9.15 malam tadi.

Katanya, antara kampung yang terbabit adalah Kampung Kilang, Kampung Tualang, Kampung Gaduh, Kampung Paya Takung, Kampung Pulau Meranti, Kampung Paya Ara dan Kampung Pulau Kabung.

"Semua mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan air sudah mula surut bermula jam 4.30 pagi tadi.

"Sekarang kami sedang menjalankan kerja pembersihan bersama agensi berkaitan dan penduduk kampung," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, bagaimanapun pihaknya dalam langkah berjaga-jaga dan penduduk akan dipindahkan semula ke dewan itu jika keadaan sama berulang kembali.

Berita Harian X