Rabu, 7 Disember 2016 | 6:54pm

UUM Press terbit 7 buku karya kreatif penulis Kelantan

TIMBALAN Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Noor Azizi Ismail (kiri) menunjukan sebahagian buku-buku yang dilancarkannya disaksikan Pengarah UUM Press, Dr Ram Al Jaffri Saad (dua dari kiri) dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Che Zainab Omar (dua dari kanan) di Majlis Pelancaran Buku-Buku Karya Kreatif Penulis Kelantan dan Bicara Buku Skrip Drama Pentas - Buai Dan Antologi Puisi Agin di Dewan Seminar DBP Wilayah Timur, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah UUM Press mengambil peluang menerbitkan tujuh buku karya kreatif yang dihasilkan penulis Kelantan.

Tujuh buku berkenaan bertajuk Antologi Puisi Sukma Angin Jilid 1,2 dan 3, Antologi Puisi Wayang, Skrip Drama Pentas, Kumpulan Puisi Introspektif dan sebuah novel dakwah iaitu Alunan Dakwah Tazkir.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof Dr Noor Azizi Ismail, berkata sejak memulakan penerbitan bermula 1984, bahan penerbitan UUM Press tertumpu kepada genre ilmiah termasuk jurnal.

"Tahun ini baharu kami memulakan penerbitan untuk menerbitkan karya kreatif dengan mensasarkan 70 peratus bahan penerbitan merangkumi 50 peratus akademik dan 20 karya kreatif.

"Kami mencari penulis tersohor untuk menerbitkan karya mereka dan selepas ini mungkin akan menambah karya lain untuk diterbitkan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran buku karya kreatif penulis Kelantan di dewan seminar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, di sini, hari ini.

Noor Azizi berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan Syarikat Muda Osman (SMO) untuk melantik syarikat itu sebagai pengedar tunggal.

Sementara itu, Pengarah DBP Wilayah Timur, Che Zainab Omar, berkata usaha UUM Press menerbitkan karya penulis Kelantan sangat dialu-alukan kerana ilmu dalam sesuatu karya itu semakin meluas disebarkan kepada pembaca.

"Tidak semestinya hanya DBP yang boleh menerbitkan buku dan karya penulis sebaliknya inisiatif daripada penerbitan lain dapat menggalakkan penghasilan karya kreatif dengan lebih banyak," katanya.

Berita Harian X