X
Rabu, 1 March 2017 | 2:07pm

Karnival Street Dakwah sasar 5,000 pengunjung

PENGARAH Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin (kanan) dan Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan menunjukkan kain rentang Karnival Street Dakwah di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
PENGARAH Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin (kanan) dan Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan menunjukkan kain rentang Karnival Street Dakwah di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

IPOH: Lebih 5,000 pengunjung dijangka menghadiri program Karnival Street Dakwah di dataran Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada Jumaat hingga Ahad ini.

Program bermula jam 9 pagi hingga 10 malam itu dianjurkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dengan kerjasama pengurusan masjid.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata program pertama kali itu bertujuan mempelbagaikan bentuk program pengimarahkan masjid dan menyampaikan mesej dakwah khusus kepada jemaah tempatan dan masyarakat umum secara santai.

"Program disediakan termasuk forum santai bersama selebriti, haflah al-Quran, forum subuh, kuliah, dhuha, konsert amal serta pembukaan lebih 70 gerai membabitkan 25 agensi kerajaan dan swasta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai program berkenaan di Masjid Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Mohd Yusop berkata, pihaknya menjemput beberapa pendakwah seperti Datuk Kazim Elias, Ustaz Huri, Ustaz Don dan Daei Elyas serta artis tempatan termasuk Zul Handy Black dan Heliza Helmi bagi memenuhi empat sesi slot istimewa Street Dakwah.

Beliau berkata, program turut membabitkan penyertaan 10 perpustakaan dari seluruh negara yang menyediakan pelbagai promosi menarik serta ruang untuk bersantai sambil membaca.

Katanya, program turut diselitkan program FIT Masjid dan forum santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Berita Harian X