Khamis, 20 April 2017 | 4:59pm

1,000 kampit beras gagal diseludup

ABD Latif Abdul Rahman (kiri) dan anggotanya menunjukkan timbunan kampit beras yang ditemui di belakang kontena yang ditahan dalam sekatan di Plaza Tol Jitra malam kelmarin. - Foto Zuliaty Zulkifli
ABD Latif Abdul Rahman (kiri) dan anggotanya menunjukkan timbunan kampit beras yang ditemui di belakang kontena yang ditahan dalam sekatan di Plaza Tol Jitra malam kelmarin. - Foto Zuliaty Zulkifli

ALOR SETAR: Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) menggagalkan cubaan menyeludup 1,000 kampit beras jawi selepas menahan sebuah lori kontena di Plaza Tol Jitra, di sini malam tadi.

Komander AKSEM Kedah, Abd Latiff Abdul Rahman berkata, pihaknya juga menahan pemandu lori berusia 43 tahun selepas mendapat maklumat mengenai lori kontena terbabit, jam 9.30 malam.

Katanya, lori terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Bukit Kayu Hitam menuju ke arah selatan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran pada kontena itu dipercayai palsu manakala pemandunya tidak membawa sebarang dokumen untuk membawa beras terbabit.

KONTENA yang ditahan AKSEM kerana membawa muatan beras yang dipercayai diseludup, malam kelmarin. - Foto Zuliaty Zulkifli
KONTENA yang ditahan AKSEM kerana membawa muatan beras yang dipercayai diseludup, malam kelmarin. - Foto Zuliaty Zulkifli

"Siasatan awal, suspek hanya diupah untuk membawa beras terbabit dan muatan beras seberat 50 tan itu diserahkan kepada Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras Kedah untuk tindakan lanjut," katanya yang ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Abd Latiff berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 3, Akta Kawal Selia Padi Beras (Akta522) kerana menjalankan aktiviti perniagaan beras tanpa lesen.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 bagi kesalahan pertama atau RM50,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya," katanya.

Berita Harian X