X
Selasa, 22 Disember 2015 | 2:05pm

URB meronda di lokasi kerap berlaku jenayah

ANGGOTA polis menunggang motorsikal Honda CBR 250 sempena Majlis Penyerahan Enam Unit URB kepada Balai Polis Bukit Jelutong di IPD Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
ANGGOTA polis menunggang motorsikal Honda CBR 250 sempena Majlis Penyerahan Enam Unit URB kepada Balai Polis Bukit Jelutong di IPD Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam akan menempatkan 12 motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) jenis Honda CBR 250 di beberapa lokasi panas dalam tempoh terdekat ini.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Nek Zaidi Zakaria, berkata penambahan motosikal URB selaras dengan usaha memperkukuhkan lagi sistem operasi dan rondaan sedia ada, terutama di kawasan yang kerap berlaku jenayah.

"Pihak kami dalam proses memohon serta menerima URB ini. Malah, unit ini mendapat reaksi positif daripada penduduk daerah ini yang dan ada yang meminta URB memperluas kawasan rondaan ke lokasi tumpuan.

"URB sudah membuktikan keberkesanan dalam mengurangkan kadar jenayah, terutama di kawasan perumahan. Penambahan URB akan dapat menepati tempoh masa bertindak, iaitu purata lapan minit bagi setiap maklumat atau aduan yang diterima daripada masyarakat, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Enam Unit URB kepada Balai Polis Bukit Jelutong di IPD Shah Alam di sini, hari ini.

Penyerahan motosikal URB itu adalah inisiatif bersama Persatuan Penduduk Bukit Jelutong bersama IPD Shah Alam dalam usaha memperkukuhkan lagi sistem operasi serta rondaan sedia ada, terutama di kawasan tertentu kerap berlaku jenayah.

Nek Zaidi berkata, semua persatuan penduduk perlu mencontohi sikap warga Bukit Jelutong yang menjalinkan kerjasama erat bersama polis, bukannya menyerahkan bulat-bulat kepada pasukan keselamatan itu untuk membanteras jenayah.

"Penduduk kawasan ini mengharapkan jenayah dibanteras secara efektif dan profesional. Jadi, apabila penduduk pun menunjukkan kesungguhan untuk atasi kejadian jenayah, ia akan turut memberikan semangat kepada pihak polis untuk terus memastikan keselamatan orang ramai terjamin.

"Usaha menambah baik URB ini dapat meningkatkan tahap keselamatan sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap kredibiliti pasukan keselamatan itu.

Motosikal URB akan menjalankan rondaan yang difokuskan kepada kawasan taman perumahan yang ditetapkan dan Selangor menjadi antara negeri yang diberi keutamaan, selain Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang untuk menerima penambahan motosikal URB berikutan ia sebuah negeri yang besar dan pesat membangun.

Berita Harian X