Selasa, 26 Januari 2016 | 11:01am

Kakitangan pejabat agama maut nahas

KUALA KLAWANG: Seorang kakitangan Pejabat Agama Islam Daerah Jelebu, maut apabila kereta yang dipandunya terbabas di Jalan Kuala Klawang-Peradong dekat sini, pagi ini.

Mangsa, Mohd Alif Abd Razak, 20-an, yang memandu seorang diri mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba Kuala Klawang, Pegawai Bomba Azizul Aluwai, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.42 pagi dan enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Bagaimanapun, katanya, pasukan itu yang tiba di tempat kejadian berhampiran Sekolah Kebangsaan Peradong, pada jam 7.43 pagi, mendapati mangsa yang tersepit di tempat duduknya sudah meninggal dunia.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk memotong pintu dan mengeluarkan mangsa daripada keretanya," katanya di sini, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jelebu. Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Othman Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis masih menyiasat kemalangan berkenaan.

Berita Harian X