Sabtu, 6 Februari 2016 | 4:36pm

Alor Gajah bah, 264 penduduk dipindahkan

KEADAAN banjir di Jambatan Sungai Pengkalan di Kampung Pengkalan, Alor Gajah. - Foto Shukor Kasim
KEADAAN banjir di Jambatan Sungai Pengkalan di Kampung Pengkalan, Alor Gajah. - Foto Shukor Kasim

ALOR GAJAH: Seramai 264 penduduk di sekitar daerah ini dipindahkan ke empat lokasi pemindahan akibat banjir yang mula melanda, awal pagi tadi.

Sehingga jam 1.30 tengah hari tadi, semua mangsa ditempatkan di empat lokasi iaitu Balai Raya Bukit Balai, Balai Raya Gadek, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan dan Surau Sri Cahaya, Tambun Durian Tunggal.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, Balai Raya Bukit Balai menempatkan tiga keluarga, Balai Raya Gadek (15), SMK Seri Pengkalan (46) dan empat di Surau Sri Cahaya.

"Mangsa banjir melaporkan diri sejak Subuh tadi selepas paras air naik mendadak dan memasuki rumah mulai jam 3 pagi susulan hujan lebat berterusan sejak malam semalam," katanya.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) dalam satu kenyataan turut berkongsi maklumat banjir di Asahan dan Jasin.

"Seramai 29 mangsa banjir dipindahkan di sekitar Asahan dan Jasin, termasuk 20 pelajar tahfiz yang ditempatkan di Balai Raya Taman Kasturi Simpang Bekoh.

"Enam mangsa dari dua keluarga di Jasin ditempatkan di Balai Raya Pekan Simpang Bekoh, manakala satu keluarga membabitkan tiga mangsa ditempatkan di Balai Raya Asahan," katanya.

Berita Harian X