Jumaat, 19 Februari 2016 | 11:52am

Rumah pekerja asing FELDA kena serbu

KUALA KLAWANG: Aduan penduduk tempatan mengenai gelagat kurang menyenangkan pekerja asing menyebabkan polis dan Jabatan Imigresen menggempur dua tanah rancangan FELDA di sini.

Operasi mulai jam 2 hingga 6 pagi itu ditumpukan terhadap rumah pekerja di FELDA Pasoh Satu dan FELDA Pasoh Empat yang didiami pekerja ladang Indonesia, Bangladesh dan India.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Othman Basri, berkata operasi yang diketuai oleh Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Daerah, Asisten Superintendan Abdul Hanif Abdul Ghani, disertai oleh 42 pegawai dàn anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu dan 10 pegawai Jabatan Imigresen.

Katanya, polis dan agensi penguatkuasaan lain memang sering memeriksa penempatan pekerja warga asing di daerah ini, termasuk tanah rancangan FELDA.

"Bagaimanapun apabila penduduk membuat aduan, kita peka terhadap masalah yang dibangkitkan seperti bising pada waktu malam. Operasi ini turut bertujuan memastikan semua pekerja asing mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja, " katanya selepas operasi itu, hari ini.

Othman berkata, 81 pekerja warga asing di dua rumah pekerja diperiksa dan 31 orang daripada mereka ditahan bagi siasatan lanjut kerana dipercayai menyalahguna pas lawatan sosial dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

"Semua pekerja yang ditahan kemudian dihantar ke Pusat Tahanan Imigresen di Lenggeng, Seremban," katanya.

Sementara itu, ketika operasi pekerja asing yang sedang tidur terkejut apabila diperiksa, tetapi mereka memberi kerjasama dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Sesetengah pekerja berkenaan juga diarahkan menjalani ujian air kencing untuk menentukan mereka bebas dari penyalahgunaan dadah.

Berita Harian X