Rabu, 23 March 2016 | 5:09pm

Premis perniagaan Nilai 3 kena serbu

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

[email protected]

NILAI: Seramai 33 peniaga dikenakan kompaun RM25,900 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri dalam operasi bersepadu di kawasan Nilai 3 di sini, hari ini.

Operasi yang bermula pada jam 10.30 pagi hingga jam 2 petang itu disertai seramai 170 kakitangan KPDNKK bersama sembilan agensi kerajaan lain.

Agensi berkenaan ialah polis, Majlis Perbandaran Nilai, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kesihatan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK negeri, Saifulbahri Abd Kadir, berkata antara kesalahan dilakukan ialah tidak meletakkan tanda harga, menggunakan alat timbang yang tidak mendapat kelulusan dan menjalankan jualan murah tanpa kebenaran.

"Semua kesalahan itu dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Perihal Dagangan 2011," katanya pada sidang media selepas operasi itu tamat.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu akan diteruskan bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang, termasuk yang membabitkan bidang kuasa sembilan agensi kerajaan lain.

Berita Harian X