Selasa, 21 Jun 2016 | 12:17pm

Kes HFMD di Negeri Sembilan terus meningkat

SEREMBAN: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di kalangan kanak-kanak di negeri ini menunjukkan peningkatan apabila dikesan melebihi paras amaran iaitu 20 kes seminggu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Abdul Rahim Abdullah, berkata sehingga minggu ke 24 pada tahun ini, sebanyak 595 kes direkodkan dan setakat ini tidak menunjukkan sebarang penurunan.

"Jabatan Kesihatan akan terus menjalankan analisa dan berharap mendapat keputusan dalam tempoh terdekat," katanya di sini, hari ini.

Minggu lalu, Jabatan Kesihatan negeri mengesan peningkatan kes HFMD di negeri ini sejak awal April lalu.

Trend peningkatan mula dikesan apabila bilangan kes mingguan penyakit itu melebihi paras amaran iaitu 20 kes seminggu, dengan peningkatan paling ketara berlaku sepanjang Mei.

Jumlah kes direkodkan pada minggu kedua bulan Mei adalah 28 kes, meningkat pada minggu ketiga (41 kes) dan minggu keempat (87 kes). Abdul Rahim berkata, ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan untuk menghalang penularan penyakit ini.

Katanya, mereka dinasihatkan membawa anak yang mempunyai tanda HFMD ke klinik atau hospital dengan segera.

"Tanda penyakit HFMD adalah demam selain ruam dan ulser pada mulut, kaki atau tangan.

"Pesakit HFMD ringan perlu berehat di rumah dan tidak boleh dibawa ke tempat awam termasuk sekolah, tadika, taska atau rumah pengasuh yang mendedahkan mereka kepada kanak-kanak lain," katanya.

Berita Harian X