Khamis, 23 Jun 2016 | 12:39pm
Presiden merangkap Pengarah Pengurusan Kumpulan KUB Malaysia Bhd, Datuk Abdul Rahim Mohd Zin bersama 40 anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras sempena Program Kasih Syawal Bersama Anak Yatim di Jakel Mall Kuala Lumpur, hari ini.
Presiden merangkap Pengarah Pengurusan Kumpulan KUB Malaysia Bhd, Datuk Abdul Rahim Mohd Zin bersama 40 anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras sempena Program Kasih Syawal Bersama Anak Yatim di Jakel Mall Kuala Lumpur, hari ini.

KUB rai anak yatim, asnaf beli baju raya

KUALA LUMPUR: KUB Malaysia Bhd berkongsi kemeriahan sambutan Aidilfitri bersama 40 anak yatim dan asnaf dengan membeli kelengkapan baju raya dalam Program Kasih Syawal Bersama Anak Yatim di Jakel Mall di sini, pagi tadi.

Program kali pertama bersama anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan itu dalam berkongsi kemeriahan dan kegembiraan menyambut Syawal.

Presiden merangkap Pengarah Pengurusan Kumpulan, Datuk Abdul Rahim Mohd Zin, berkata bagi memberi lebih keceriaan kepada anak kecil berkenaan, mereka diberi kebebasan untuk memilih sendiri baju raya mereka.

"Bila kita bagi tahu mereka boleh pilih baju raya sendiri, masing-masing gembira dan teruja.

"Untuk program ini, setiap seorang kita peruntukkan RM200 untuk baju raya selain sumbangan duit raya," katanya ketika ditemui pada program itu.

Abdul Rahim berkata, program yang turut disertai ahli Kelab Kakitangan Kumpulan KUB itu diharap mampu diteruskan pada masa akan datang sekali gus meringankan beban golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, program CSR KUB tidak terhad kepada bantuan Hari Raya malah turut membantu sekolah Maahad Tahfiz yang memerlukan.

"Baru-baru ini kita adakan majlis buka puasa di sebuah sekolah Maahad Tahfiz di Subang dan kita akan teruskan usaha murni ini pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengetua Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada KUB kerana sudi menghulurkan bantuan kepada anak istimewa di rumah terbabit.

"Saya harap hubungan yang terjalin ini berterusan dan kekal sampai bila-bila. Dengan bantuan ini, dapat juga mereka merasa baju baru sekali gus meringankan perbelanjaan pihak kami," katanya.

Berita Harian X