Isnin, 1 Ogos 2016 | 6:11pm

Kerajaan Perak kongsi idea teknologi hijau Melaka

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Wira Md Yunos Husin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria (kiri) sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Kamarudin Md Shah (tengah) pada lawatan kerja Ahli Jawatankuasa (AJK) Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak ke Melaka di Bilik Kesidang Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, Wisma Negeri, MITC, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Kerajaan Perak terus menjalinkan kerjasama baik dengan Melaka dalam usaha membangunkan teknologi hijau di negeri masing-masing dengan mengadakan lawatan ke Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) di Wisma Negeri, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pagi tadi.

Lawatan diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria bersama kira-kira 20 ahli jawatankuasa itu bertujuan bertukar idea dan berkongsi pandangan mengenai penekanan berterusan terhadap penjagaan alam sekitar.

Muhammad Amin berkata, pihaknya memandang serius pelaksanaan teknologi hijau membabitkan amalan dan pendekatan budaya dalam kalangan masyarakat dengan menjadikan Kerajaan Melaka sebagai model berikutan ia negeri pertama memfokuskan aspek pembangunan itu.

"Saya tidak nafikan, kerajaan negeri mungkin berdepan sedikit kesukaran bagi membudayakan amalan teknologi hijau, namun yakin dengan kerjasama baik dengan Kerajaan Melaka, usaha ini dapat memudahkan kami.

"Kita sendiri sudah mengikuti jejak langkah Melaka melaksanakan beberapa projek di Perak termasuk pengharaman penggunaan beg plastik dan polistirena, pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED) di kawasan pentadbiran dan bandar utama, selain bas elektrik," katanya pada sidang media selepas lawatan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Datuk Wira Md Yunos Husin; Ketua Pegawai Eksekutif PTHM, Datuk Kamarudin Md Shah dan Pengarah Pendidikan Negeri, Abu Bakar Sahari.

Katanya, Perak turut memberikan tempoh setahun bermula Jun lalu hingga Jun 2017 kepada semua premis dan pihak yang berkaitan berhubung pengharaman penggunaan beg plastik serta polisterina di negeri itu.

Sementara itu, Md Yunos berkata, usaha kerajaan negeri merealisasikan Melaka sebagai negeri teknologi hijau secara berterusan berbaloi apabila tersenarai negeri pertama menyertai United Nation - Urban Environmental Accord (UEA) sejak Mei 2012.

"Beberapa projek sedang dilaksanakan antaranya Bandar Hijau Hang Tuah Jaya, Melaka World Solar Valley di Rembia, Projek Low Carbon City Framework, penggunaan bas elektrik, program Biodiesel Melaka dan pemasangan lampu LED.

"Walaupun terpaksa berdepan pelbagai rungutan masyarakat di negeri ini, mereka perlu dididik dari awal mengenai kelebihan teknologi hijau seperti pengusaha perlu menyediakan beg biodegradasi kepada pengguna yang membeli barangan dan tiada lagi penggunaan beg plastik untuk kebaikan generasi akan datang," katanya.

Berita Harian X