X
Jumaat, 9 September 2016 | 3:56pm

Ops bersepadu, 315 kes kesalahan pengguna jalan raya

Anggota polis bahagian narkotik menahan seorang penumpang lori yang didapati positif dadah pada ujian saringan air kencing ketika operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi di Hentian Rehat & Rawat Restoran Jejantas Ayer Keroh, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
Anggota polis bahagian narkotik menahan seorang penumpang lori yang didapati positif dadah pada ujian saringan air kencing ketika operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi di Hentian Rehat & Rawat Restoran Jejantas Ayer Keroh, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Sekurang-kurangnya 315 kes membabitkan pelbagai kesalahan dikenal pasti dalam Ops Bersepadu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas Ayer Keroh, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, malam tadi.

Dalam operasi itu, sebanyak 163 saman dikeluarkan polis trafik, selain 155 pemeriksaan dilakukan ke atas pelbagai kenderaan.

Sebanyak 10 kompaun dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) manakala 14 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Lapan warga asing turut ditahan oleh Jabatan Imigresen dalam operasi bersepadu empat jam bermula jam 8 malam itu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata operasi diterajui SPAD itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan PLUS.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah turut melakukan ujian air kencing ke atas 22 pemandu secara rawak dengan seorang daripadanya dikesan positif dadah.

"Lelaki berusia 23 tahun yang juga pemandu lori itu membawa muatan perabot dan didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

"Dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika ditemui, hari ini.

Berita Harian X