Jumaat, 21 Oktober 2016 | 5:16pm

UiTM ucap takziah kepada keluarga Datuk Zahani Ahmad

SHAH ALAM: Seluruh warga Universiti Teknologi MARA (UITM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Lembaga Pengarah universiti itu, Allahyarham Datuk Zahani Ahmad, yang meninggal dunia, semalam.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata Zahani, 81, pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah UiTM di antara 17 Oktober 1996 sehingga 16 Oktober 2010, yang juga seorang daripada sembilan Ahli Lembaga Pengarah pertama dilantik setelah Parlimen meluluskan Akta ITM (Pindahan) 1996.

"Allahyarham dikenali sebagai seorang tokoh yang amat disegani dalam dunia arkitek negara sehingga mendapat jolokan nama arkitek ITM (Institut Teknologi MARA).

"Sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah, beliau banyak membantu mempertingkatkan taraf pendidikan Melayu dan Bumiputera di UiTM.

"Pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada UiTM dan negara. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dakan kalangan orang yang beriman," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Zahani meninggal dunia pada jam 8.35 malam semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sebelum solat Jumaat tadi.

Allahyarham yang mengalami serangan angin ahmar, meninggal dunia ketika dirawat sejak lebih setahun lalu di Hospital Columbia Asia, di sini.

Beliau meninggalkan dua anak lelaki dan seorang anak perempuan serta sembilan cucu.

Berita Harian X