Khamis, 8 Disember 2016 | 1:50pm

Galak belia ceburi industri pertanian

REPLIKA Dinosaur yang diperbuat daripada botol plastik menjadi tarikan para pengunjung pada MAHA 2016. - Foto BERNAMA
REPLIKA Dinosaur yang diperbuat daripada botol plastik menjadi tarikan para pengunjung pada MAHA 2016. - Foto BERNAMA

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dengan kerjasama Agrobank menganjurkan Seminar Agropreneur Muda (SAM 2016) dalam usaha meningkatkan pembabitan belia dalam bidang perniagaan pertanian.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz berkata, potensi dan peluang dalam membangunkan industri pertanian mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Beliau berkata, bidang pengeluaran makanan dan pertanian adalah penting untuk masa depan negara dan golongan muda perlu mengambil peluang yang disediakan sebagai salah satu cabang kerjaya.

"Negara kita terkenal dengan hasil semula jadi, namun kita tidak boleh sekadar menghasilkan untuk rakyat sahaja. Dalam menuju negara maju, kita perlu lebih agresif untuk menjadi negara yang kompetitif sekali gus mampu mengeksport hasil tanaman dan makanan ke luar negara.

"Oleh itu, pelbagai perancangan dilakukan melalui Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Felcra Berhad (Felcra) dilakukan bagi memastikan bidang pertanian dan industri asas tani terus maju," katanya merasmikan Seminar Agropreneur Muda 2016, di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MAHA) 2016, di sini, hari ini.

Seminar itu bertujuan menggalakkan penyertaan golongan muda dan memberi panduan serta dorongan kepada mereka untuk terbabit dalam sektor pertanian.

TIGA juta tongkol jagung disasarkan dijual pada MAHA 2016. - Foto BERNAMA
TIGA juta tongkol jagung disasarkan dijual pada MAHA 2016. - Foto BERNAMA

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi berkata, SAM 2016 adalah salah satu daripada inisiatif menggalakkan golongan muda menceburi bidang keusahawanan.

"Agrobank sentiasa komited dalam membantu golongan yang ingin memulakan langkah masuk ke bidang pertanian dan asas tani.

"Justeru, kita berharap seminar ini dapat menarik lebih ramai golongan belia berkecimpung dalam bidang pertanian dan sektor makanan," katanya.

Berita Harian X