Sabtu, 10 Disember 2016 | 10:07pm

20 peserta jalani Latihan Jelajah Malaysia Siri 1-JWJ 4

PENGARAH Projek JWJ 4, Zaid Muhammad Mohd Rais. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PENGARAH Projek JWJ 4, Zaid Muhammad Mohd Rais. - Foto Nurul Shafina Jemenon

GOMBAK: Seramai 20 peserta menyertai Latihan Jelajah Malaysia Siri 1 - Jejak Warisan Jawi 4 (JWJ 4) yang akan melalui empat negeri iaitu Pahang, Perak, Pulau Pinang serta Kedah, bermula hari ini.

Latihan terbabit akan berlangsung selama dua hari bagi menjayakan pelbagai aktiviti termasuk persembahan budaya dan adat perkahwinan, sesi ramah mesra bersama warga emas di Darul Hannan, Pulau Pinang, serta taklimat kepada Maahad Tahfiz Al Firdausi, Perak.

Malah, latihan itu juga sempena persiapan untuk Kembara Merentas Sempadan Kuala Lumpur - Jeddah JWJ 4 yang akan bermula pada 14 Jun tahun depan.

Pengarah Projek JWJ 4, Zaid Muhammad Mohd Rais, berkata ia adalah siri kembara keempat yang akan merangkumi pelbagai aktiviti kebudayaan, kemanusiaan, kebajikan serta kemasyarakatan Melayu untuk diperkenalkan kepada orang luar.

"JWJ 4 akan merentasi 15 negara dalam tempoh 90 hari sebelum tiba di Jeddah yang akan disertai oleh 32 peserta, terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

"Sebanyak lapan buah kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk perjalanan sejauh 24,000 kilometer," katanya ketika ditemui sebelum Latihan Jelajah Malaysia Siri 1 - JWJ 4 dilepaskan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siri kembara JWJ 4 kali ini adalah lebih mencabar kerana kumpulannya akan cuba untuk merentasi Myanmar.

"Walaupun Myanmar sedang mengalami konflik negara, kami berharap ia tidak menjadi halangan untuk ke negara Asia Barat bagi menjayakan misi ini," katanya.

Zaid Muhammad berkata, siri jelajah kali ini turut merangkumi kajian sejarah berkenaan masyarakat dan budaya Melayu.

Berita Harian X