X
Jumaat, 6 Januari 2017 | 10:46am

The Shore sasar 200,000 pengunjung

The Shore.- Foto GEMFIVE
The Shore.- Foto GEMFIVE

MELAKA: The Shore Shopping Gallery menyasar sehingga 200,000 pengunjung mengunjungi Taman Interaktif Tiga Dimensi (3D) dan Muzium Mainan di pusat beli-belah itu pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Muzium Mainan The Shore, Chew Chert Fong, berkata kedua-dua lokasi tarikan yang mula dibuka pada pertengahan Oktober tahun lalu itu kini sudah menerima 20,000 pengunjung dalam tempoh dua bulan.

"Taman Interaktif 3D dilengkapi 13 elemen 3D seperti teater hologram, 3D dan gambar, lukisan 3D, rumah hantu, cermin ajaib, rumah terbalik, suasana romantik siang dan malam, cermin infiniti dan kesan interaktif.

"Kita menampilkan lebih 60 elemen penggambaran menarik membabitkan kos bernilai RM3 juta dan kini menjadi antara tarikan pelancong, sekali gus menyumbang dalam industri pelancongan negeri," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, pengunjung juga berpeluang merasai pelbagai pengalaman baharu dengan pelbagai kesan menggunakan teknologi tinggi yang pastinya tidak mengecewakan.

"Taman tema ini turut menempatkan sebuah panggung hologram terbesar dan pertama di negeri Melaka, selain mempunyai 'Gravity Hill' dan 'Ames Room'.

"Muzium mainan yang menelan belanja RM3 juta pula mempamerkan lebih 10,000 koleksi mainan, termasuk patung figura dan robot yang diimport khas dari Jepun dan Thailand, selain replika kereta perang adiwira yang bernilai RM200,000," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kepelbagaian lokasi menarik yang bukan saja bersesuaian dengan semua lapisan usia menjadikan negeri Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan yang tepat.

Berita Harian X