Ahad, 26 March 2017 | 5:39pm

Peluang kedua ke UiTM

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menawarkan peluang kedua kepada sekurang-kurangnya 3,000 calon yang gagal kali pertama untuk memasuki universiti itu melalui permohonan UPU Online.  

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, UiTM akan membuka permohonan kedua Julai depan bagi kemasukan semester November 2017.

"Peluang kedua ini akan diberikan kepada pelajar tertentu di lokasi tertentu. Saya berpendapat pencapaian akademik mereka mungkin dipengaruhi latar belakang dan juga lokasi di mana mereka berada.

"Adakalanya mereka berbakat, tetapi peluang dan kemudahan tidak begitu baik. Eloklah peluang kedua diberikan kepada mereka dan saya yakin mereka akan berjaya dengan peluang kedua ini," katanya dalam sidang media di Ekspo Selangkah ke UiTM 2017 yang berlangsung 25 dan 26 Mac di Dewan Agung Tuanku Cancelor (DATC) UiTM Shah Alam di sini.

Bagaimanapun, katanya, peluang kedua kepada calon yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke universiti atau kolej amat luas, bukan sahaja di UiTM.

"Peluang kedua cukup luas, kalau pelajar betul-betul hendak belajar tempat tidak jadi masalah. Kerajaan sudah sediakan banyak (kemudahan). Kalau tak dapat UiTM pun, masih ada kolej komuniti, politeknik dan institut latihan.

"Tempat-tempat sebegini akan memberi ruang kepada pelajar sebagai peluang kedua yang membolehkan mereka menjadi pelajar mahir dengan pelbagai kemahiran. Pelajar berkemahiran mempunyai banyak peluang kerja terutama di sektor perkhidmatan selain ganjaran yang tinggi," katanya.

Mengulas mengenai Ekspo Selangkah ke UiTM 2017, Hassan berkata, sambutan ibu bapa dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sebagainya sangat luar biasa.

Katanya, ini memberikan peluang kepada UiTM memberikan penerangan secara terperinci kepada ibu bapa dan pelajar mengenai kursus pengajian yang ingin dipohon, permasalahan sewaktu proses pembelajaran kelak serta prospek kerjaya.

"Masih ramai ibu bapa dan keluarga mahu anak mereka mengikuti kursus pengajian yang gah seperti perubatan tetapi hakikatnya sesetengah pelajar, walaupun cemerlang, tetap tidak berminat dan tidak mahu memilih kursus berkenaan," katanya.

Berita Harian X