Selasa, 16 Mei 2017 | 1:57pm

Hari Guru unik di SMK Yam Tuan Radin

SEBAHAGIAN guru yang menjayakan Hari Guru di SMK Yam Tuan Radin, Port Dickson.
SEBAHAGIAN guru yang menjayakan Hari Guru di SMK Yam Tuan Radin, Port Dickson.

PORT DICKSON: Sambutan Hari Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yam Tuan Radin, Lukut di sini, menampilkan kelainan apabila guru memakai pakaian mewakili pelbagai kerjaya di negara ini.

Ini bagi menepati tema sambutan, iaitu `Kalau Aku Bukan Guru' dengan antara pakaian kerjaya lain yang dipakai ialah anggota tentera, juruterbang, pramugari, jururawat dan doktor.

Pengetua, Arif Afandi Ariffin, berkata sebahagian guru apabila diberitahu tema sambutan tahun ini, berusaha mencari pakaian yang sesuai dengan meminjam daripada rakan atau saudara mara.

Katanya, pemilihan tema itu bukan hanya untuk memeriahkan sambutan Hari Guru, tetapi memberi motivasi kepada pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh supaya berjaya menceburi kerjaya demikian.

"Ini adalah tahun pertama saya bertugas di sekolah ini dan sambutan Hari Guru memang meriah dengan penyertaan semua guru dan pelajar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pada sambutan anjuran Kelab Pengawas, seramai 90 guru turut menyertai pelbagai program seperti sukaneka.

Sementara itu guru, Mohd Yusof Shafie, yang memakai baju anggota tentera gembira kerana pakaian kerjaya yang diminati dapat dipakai dan dilihat pelajarnya.

"Pakaian ini menggambarkan cita-cita saya ketika bergelar pelajar dahulu," katanya.

Berita Harian X