X
Isnin, 12 Jun 2017 | 10:15pm

Pemantauan lebih kerap pusat hiburan

DATUK Zainal Hussin (tengah) membantu pengamal media mengambil makanan pada majlis 'Sesuci Ramadan' MBMB bersama Ahli Majlis dan Media di Hotel Moty, Banda Hilir. - Foto Khairunisah Lokman
DATUK Zainal Hussin (tengah) membantu pengamal media mengambil makanan pada majlis 'Sesuci Ramadan' MBMB bersama Ahli Majlis dan Media di Hotel Moty, Banda Hilir. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan menjalankan pemantauan lebih kerap pusat hiburan sekitar Taman Melaka Raya, di sini, melalui penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Melaka Raya sejak April lalu.

Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Zainal Hussin, berkata kira-kira 40 pusat hiburan di kawasan tumpuan pelancong itu akan dipantau rapi bagi memastikan pemilik premis mengikut peraturan ditetapkan.

"Kita menubuhkan jawatankuasa ini bagi mencapai sasaran kawasan Taman Melaka Raya sebagai pusat hiburan yang menepati syarat, antaranya beroperasi dengan lesen yang diperbaharui dan mengikut tempoh operasi yang ditetapkan," katanya pada Majlis 'Sesuci Ramadan' MBMB bersama Ahli Majlis dan Media di sini.

Pada majlis itu, seramai 100 ahli majlis dan pengamal media di negeri ini diraikan sebagai tanda menghargai peranan media dalam menyalurkan berita kepada masyarakat.

Yang turut hadir, Setiausaha MBMB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Salim.

Zainal berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berusaha untuk mewujudkan pembangunan di Taman Melaka Raya yang bukan saja mengikut undang-undang, malah sentiasa memantau secara lebih dekat setiap peraturan yang ditetapkan ke atas premis di kawasan itu.

"Kita tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun ke atas mana-mana premis yang melanggar peraturan, dengan sesebuah premis boleh dikenakan beberapa kali kompaun atas kesalahan sama hingga kompaun diselesaikan.

"Selepas tiga kali kompaun dikeluarkan ke atas premis sama, kita akan menyita pusat hiburan itu dengan setiap kompaun yang dikeluarkan bernilai RM10,000," katanya sejumlah kira-kira RM300,000 kompaun dikeluarkan sejak Januari hingga Mei lalu atas pelbagai kesalahan.

Berita Harian X