Sabtu, 17 Jun 2017 | 4:41pm

Bunga api, mercun RM8,000 dirampas

KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat (tiga kiri) menunjukkan sebahagian mercun yang dirampas bernilai Rm 8,000 di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam. - Foto Shazreen Zamzuri
KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat (tiga kiri) menunjukkan sebahagian mercun yang dirampas bernilai Rm 8,000 di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam. - Foto Shazreen Zamzuri

SHAH ALAM: Polis merampas bunga api dan mercun bernilai RM8,000 serta menahan dua penjual di dua lokasi berasingan di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Shafien Mamat berkata, kedua-dua individu itu ditahan kerana tidak mempunyai permit yang dikeluarkan pihak polis.

"Bertindak atas maklumat orang awam, penjual pertama seorang lelaki berusia 24 tahun, ditahan di sebuah premis di Seksyen 8.

"Dalam kes kedua, seorang wanita berusia 43 ditahan di sebuah pasar raya di Seksyen 15 di sini.

"Lebih sepuluh butir pelbagai jenis bunga api dan mercun dirampas dalam serbuan antara jam 9 malam hingga 1 pagi tadi," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Shafien berkata, pihak polis sudah mengeluarkan sebanyak 80 permit kebenaran untuk menjual bunga api jenis Pop Pop dan Happy Boom sahaja.

"Kita ingin menasihatkan penjual bunga api yang mendapat permit supaya tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Ini kerana, mana-mana penjual yang melanggar peraturan, permit mereka akan ditarik balik dan bunga api dan mercun yang dijual dirampas," katanya.

Shafien berkata, kedua-dua individu terbabit ditahan reman sehari dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Berita Harian X